ARAU – Kecerdasan buatan (AI) tidak boleh dibiarkan menggantikan proses pemikiran manusia, sebaliknya perlu digunakan sekadar sebagai alat bantu membuat keputusan, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah, AI kini berada di sekeliling kita namun masyarakat tidak boleh lupa bahawa ia bersifat buatan dan bertentangan dengan sifat semula jadi.
“AI sepatutnya hanya memberi data, maklumat dan cadangan untuk membantu membuat keputusan.
“Jangan sampai kita terlalu bergantung kepadanya hingga ia menjadi ‘tuan’ dan kita hilang sentuhan kemanusiaan,” titah baginda lagi.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika merasmikan RoboCup Malaysia Open 2025 di Dewan Ilmu, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Pauh Putra di sini.
Menurut baginda, penguasaan teknologi dan inovasi terutama dalam kalangan golongan muda adalah kunci kemajuan negara pada masa depan.
“Generasi muda bukan sahaja perlu memahami teknologi, tetapi juga menjadi pencipta penyelesaian yang memberi impak besar,” titahnya.
Baginda turut menggesa ibu bapa serta pendidik menyokong penyertaan belia dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) termasuk robotik.






