PUTRAJAYA – Bendera yang dikibarkan secara terbalik dianggap sebagai isyarat kecemasan mahupun tanda protes, seperti yang termaktub dan digariskan menerusi protokol antarabangsa.
Pensyarah Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Profesor Madya Sr Dr Irwan Mohammad Ali berkata, tindakan itu meninggalkan kesan yang sangat sensitif, sama ada dilakukan dengan sengaja atau tidak disengajakan.
Menurut beliau, apabila ia berlaku di dalam sebuah negara yang aman dan harmoni tanpa sebab munasabah, ia jelas mencemarkan maruah serta kedaulatan negara.
“Pengibaran bendera bukanlah soal remeh yang boleh diambil mudah. Ia adalah lambang kedaulatan, perjuangan dan sejarah tanah air yang diperjuangkan dengan darah dan air mata generasi terdahulu.
“Apabila kita membiarkan Jalur Gemilang tidak dihormati, ia seolah mencerminkan sikap tidak peduli kita terhadap perjuangan bangsa. Jelas, kita perlu memahami tatacara mengibarkan bendera dengan betul,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Irwan berkata, pemasangan bendera Malaysia bukan sekadar protokol, tetapi tanda hormat kepada simbol negara dan semua pihak, terutamanya agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta institusi pendidikan perlu menjadi contoh utama kepada masyarakat awam.
Menurutnya, bendera yang rosak atau dipasang dengan cara yang salah harus segera diturunkan dan diganti dengan yang baharu di samping memilih kualiti yang lebih baik bagi memastikan Jalur Gemilang tidak menjadi lusuh disebabkan cuaca tropika negara.
“Masyarakat awam juga harus dipupuk dengan kesedaran sivik dan tanggungjawab kolektif. Tidak kira sama ada bendera dikibarkan di rumah, pejabat, premis perniagaan, atau kenderaan peribadi, setiap rakyat harus memainkan peranan.
“Jika bendera sudah pudar, koyak atau tak betul, turunkanlah dan betulkan atau gantikan dengan yang baharu. Jangan menunggu sehingga ditegur baru mahu bertindak. Jadilah rakyat bertanggungjawab, mencintai negara dengan sepenuh hati dan dibuktikan melalui tindakan dan penghayatan yang betul,” katanya.
Dalam pada itu, Irwan memaklumkan pengibarkan Jalur Gemilang seharusnya bukan sekadar untuk menyambut bulan Kebangsaan, namun sepatutnya menjadi simbol kebanggaan dan kehormatan negara sepanjang masa.
“Sebagai warganegara Malaysia yang berdaulat, memikul tanggungjawab bersama menjaga maruah Jalur Gemilang. Jangan biarkan ia berkibar lusuh di angkasa, bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga dari segi penghormatan dan penghayatan kita terhadap makna kebebasan dan kemerdekaan.
“Setiap helaian bendera yang berkibar itu adalah saksi bisu kepada sejarah dan perjuangan bangsa. Ia adalah terjemahan kepada cita-cita bangsa yang telah dibina bersama,” katanya.


