
WARGA Selangor diingatkan agar tidak membiarkan Jalur Gemilang yang usang terus digantung di premis atau kediaman.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tidak salah jika mengeluarkan sedikit belanja demi menunjukkan semangat patriotisme untuk negara.
“Kalau boleh ganti dan tukar bendera usang, itu pengorbanan tanda sayangkan negara. Sekiranya berbelanja sedikit, itu nilai kecil sahaja untuk sehelai bendera,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bantuan sekolah negeri 2025 di Klang, hari ini.
Pada majlis tersebut, Amirudin menyampaikan bantuan persekolah berjumlah RM26.624 juta kepada 873 sekolah seluruh Selangor.
Pada masa sama, Amirudin menyeru pemilik premis perniagaan mengibar Jalur Gemilang di bangunan masing-masing dan tidak melihatnya sebagai beban.
Tegasnya, inisiatif mengibarkan bendera yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) bertujuan menyemai semangat patriotisme.
“Arahan kibar bendera yang dikeluarkan PBT sebahagian daripada kempen cintakan Malaysia. Seruan ini wajar dikongsi bersama, bukannya dianggap sebagai bebanan kerana ini budaya patriotisme yang ada pada negara maju.
“Biarpun tiada peraturan jelas mewajibkan pemasangan bendera tetapi mungkin ada undang-undang kecil tertentu atau klausa untuk galak pemilik premis menggantung Jalur Gemilang,” katanya.





