
KEGAGALAN pegawai penyiasat memohon proses bedah siasat pada peringkat awal dikenal pasti sebagai punca utama ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kes kematian pelajar, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata, SOP jelas mewajibkan bedah siasat dilakukan sekiranya punca kematian tidak diketahui atau wujud elemen mencurigakan.
Menurutnya, hasil siasatan pasukan petugas khas mendapati pegawai penyiasat tidak mengemukakan permohonan berkenaan walaupun mempunyai kuasa di bawah undang-undang.
“Ketidakpatuhan di sini ialah pegawai penyiasat tidak memohon untuk bedah siasat pada peringkat awal, sedangkan itu adalah asas siasatan sekiranya kematian menimbulkan keraguan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di ibu negara, hari ini.
Beliau menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan pegawai penyelianya kerana gagal melaksanakan tanggungjawab, dan perkara itu kini masih di peringkat siasatan.
Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada 16 Julai lalu.
Mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama pada kira-kira pukul 4 pagi sebelum disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Pada 8 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kubur Allahyarham digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.



