
Oleh: Khairil Hilmi Mokhtar
PULAU Banggi yang terletak di utara Sabah, merupakan pulau yang terbesar di Malaysia. Ia didiami 15,000 penduduk yang kebanyakannya melaksanakan aktiviti pertanian sebagai sumber utama pendapatan.
Anak-anak di pulau ini mendapat pendidikan awal di 11 buah sekolah rendah. SMK Banggi merupakan satu-satunya sekolah menengah di pulau tersebut.
Bandar Karakit merupakan bandar utama di Pulau Banggi yang menjadi tumpuan aktiviti sosial dan ekonomi masyarakat tempatan.
Untuk ke Pulau Banggi, terdapat perkhidmatan feri yang menghubungkan pulau tersebut dengan bandar Kudat.
Pelayaran menaiki feri ini mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan. Pulau ini mempunyai nilai keindahan alam yang sangat menarik dan mengagumkan.
Namun fasiliti terhad dan kurangnya promosi menghambat pulau tersebut untuk menjadi salah satu produk pelancongan di negeri Sabah.
Di sebalik nilai estetika alam semula jadi dan masyarakatnya yang mesra, Pulau Banggi mempunyai nilai keselamatan strategik yang tinggi kepada negara.

Ia berada di persisiran Laut Cina Selatan di mana pelbagai isu tuntutan bertindih melibatkan pelbagai negara termasuk Malaysia.
Pulau Banggi juga terletak kira-kita 50 kilometer dari Pulau Balabac, Filipina. Aktiviti rentas sempadan berlaku secara aktif di kawasan ini atas faktor ekonomi dan sosial.
Kedudukan pulau ini yang terletak paling hadapan dengan pelbagai cabaran keselamatan dan geopolitik dunia, merupakan suatu fakta yang jarang mendapat perhatian umum.
Di sebalik pulau yang tenang suasananya dengan kehidupan masyarakat yang damai dan sentosa, ia sebenarnya berada paling hadapan dalam konteks pertahanan strategik negara.
Laut mengelilingi pulau ini sebenarnya aktif dengan aktiviti oleh kuasa-kuasa besar yang sentiasa berusaha untuk mengimbangi tingkah laku antara satu sama lain.
Isu tuntutan Filipina ke atas Sabah juga menjadikan pulau ini amat kritikal dan sensitif untuk dipertahankan kedaulatannya.
Kedudukannya yang begitu hampir dengan negara jiran juga memperlihat aktiviti haram lintas sempadan boleh berlaku dengan mudah.
Ia terdedah kepada ancaman jenayah seperti penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin serta rompakan.

Memperlihat ancaman semasa dan risiko masa hadapan yang semakin meningkat, amat perlu Pulau Banggi diberi perhatian oleh perancang-perancang keselamatan negara secara lebih menyeluruh.
Keupayaan bertindak balas dengan berkesan wajar menjadi keutamaan. Kemampuan mengesan ancaman lebih awal melalui peningkatan keupayaan ISR (Intelligence-Surveillance-Reconnaisance) oleh agensi-agensi keselamatan menjadi keutamaan.
Ini agar intervensi pantas dapat dilaksana dengan merendahkan impak terhadap masyarakat awam di pulau ini jika berlaku situasi yang memberi ancaman.
Kesediaan logistik untuk menyokong atur gerak pasukan keselamatan ke pulau ini juga kritikal dan perlu terus dipertingkatkan.
Pembinan jeti-jeti baharu serta landasan terbang pasti mampu melonjakkan keupayaan ini.
Dan suatu perkara yang menarik, sebahagian besar dari aspek pengukuhan keselamatan ini sebenarnya mampu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh sosioekonomi masyarakat tempatan seperti dinyatakan dalam doktrin Keselamatan Menyeluruh yang terkandung di dalam Dasar Keselamatan Negara.
Malahan konsep KESBAN – Keselamatan dan Pembangunan telah diadaptasi sejak tahun 1970-an ketika negara berhadapan dengan ancaman pengganas komunis.
Sebagai contoh, pembinaan jeti baharu dan landasan terbang mampu menperkembang potensi Pulau Banggi selaku produk pelancongan yang mampu menjana ekonomi tempatan.
Peningkatan taraf hidup boleh dilaksana serta pada masa yang sama, ancaman keselamatan ditangani.
Ancaman-ancaman terkini dianggap sebagai fakta ancaman masa nyata yang mendapat perhatian Kerajaan MADANI.

Justeru, hasil tinjauan melibatkan pelbagai agensi keselamatan seperti diarahkan Perdana Menteri, Pulau Banggi yang mempunyai kepentingan strategik kepada negara harus melalui reformasi menyeluruh dari aspek sosial, ekonomi, pendidikan, komunikasi, bekalan tenaga dan keselamatan.
Pembangunan dan keselamatan harus seiring. Justeru menjadi keutamaan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Pulau Banggi ini diperkukuh secara menyeluruh dengan keutamaan segera memperkemas keupayaan mempertahankan kawasan ini dari ancaman luar.
Sudah pasti selaku pemimpin utama negara, beliau mengambil berat hal rakyat di seluruh pelosok negara.
Juga fakta menarik, hati Perdana Menteri ,Anwar Ibrahim tidak pernah melupakan Pulau Banggi kerana di tahun 1994, ketika menjawat jawatan Menteri Pelajaran, beliau telah merasmikan majlis pecah tanah SMK Banggi di mana ketika itu tiada sekolah menengah di pulau berkenaan.
Justeru, pandangan jauh beliau terhadap nasib anak-anak di Pulau Banggi dan seluruh pelosok negara bukan perkara baharu.
Dan lebih terkini, Pusat Sebaran Maklumat Kerajaan (Pusat NADI MADANI) Pulau Banggi telah memenangi anugerah emas di peringkat antarabangsa baru-baru ini.
Justeru matlamat Perdana Menteri agar keselamatan dan pembangunan harus seimbang perlu diterjemahkan dengan tindakan nyata.
Maka memperkukuh Pulau Banggi, Sabah selaku barisan hadapan pertahanan negara yang mempunyai nilai strategik tinggi kepada Malaysia terus menjadi keutamaan Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI.
*Penulis ialah seorang Penganalisis Keselamatan Strategik