
GUA MUSANG – Seorang penoreh getah warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gua Musang atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di sebuah kebun getah di Kampung Pulai bulan lalu.
Tertuduh, berusia 40-an, didakwa melakukan perbuatan tersebut antara jam 7 malam hingga 11 malam pada 18 April lalu yang menyebabkan kematian mangsa di lokasi kejadian.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta sebat sehingga 12 kali sebatan jika tidak dikenakan hukuman mati.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan lanjut berkaitan siasatan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang mayat lelaki warga Thailand telah ditemukan dengan kesan tetakan dan beberapa luka di beberapa bahagian anggota badan mangsa berhampiran kebun getah di Kampung Pulai.
Foto: Kosmo






