MINDA TOK ABAH – RMK13: Antara jati diri bangsa & reformasi institusi ke arah tamadun baharu

DALAM riuh rendah globalisasi yang semakin menekan segenap ruang sosial, budaya dan ekonomi, Malaysia kini berada di persimpangan sejarah yang penting.

Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan sekadar pelan pembangunan lima tahun, ia adalah dokumen peradaban.

Di sinilah terletaknya pertaruhan nasional: adakah kita mampu membina sebuah bangsa moden yang berakar pada jati diri, tetapi bergerak penuh yakin sebagai pemain global yang berdaya saing?

RMK13 membawa peringatan besar bahawa pembangunan bukan hanya tentang angka KDNK dan binaan pencakar langit.

Seperti kata Soedjatmoko, pembelajaran terpenting dalam pembangunan ialah meninggikan darjat manusia, bukan memuja angka.

Dalam konteks Malaysia, pembangunan sebenar bermakna memperkukuh warisan budaya, bahasa, agama dan nilai MADANI sebagai tunjang kemajuan bangsa.

Tanpa budaya, bangsa kehilangan jiwa. Tanpa jiwa, pembangunan hanyalah rangka besi yang menunggu masa untuk reput.

Lantaran itu, naratif RMK13 disusun dengan keseimbangan yang teliti antara pertumbuhan ekonomi dan pembinaan rohani bangsa.

Sebanyak RM611 bilion digerakkan ke arah memantapkan infrastruktur digital, mewujudkan peluang pekerjaan baharu, memperkasa TVET, menyantuni sektor pelancongan luar bandar dan melahirkan bakat masa depan.

Tetapi di sebalik angka-angka besar ini, terasnya tetap bersifat manusiawi: pembangunan insan sebagai subjek dan objek kemajuan.

Dari sinilah kita memahami mengapa RMK13 mencantumkan semangat perancangan “teknokratik” dengan idealisme “jati diri bangsa”.

Malaysia tidak boleh bergantung kepada formula lama. Cabaran era kini iaitu perubahan iklim, automasi, peralihan geopolitik dunia; menuntut negara bangsa yang bukan sahaja cekal, tetapi mampu mengekalkan identiti.

Usaha memperkukuh pendidikan berteraskan nilai, menggalak dialog budaya dan mempererat perpaduan nasional bukan sekadar romantisme nostalgia, tetapi strategi survival.

Seperti yang sering ditekankan oleh Anwar Ibrahim, pembangunan yang mengasingkan manusia daripada budayanya adalah pembangunan yang pincang.

Dalam aspek sosial, RMK13 menunjukkan kesungguhan menjadikan Malaysia sebagai contoh negara majmuk yang harmoni dan matang demokratiknya.

Kestabilan sosial bukan datang dari penyatuan identiti, tetapi daripada kematangan mengurus perbezaan.

Ini selari dengan hasrat RMK13 yang mahu melahirkan bangsa Malaysia yang memiliki karamah insaniah – maruah insani, sekali gus menjadikan Malaysia bukan sekadar negara maju, tetapi bangsa bertamadun.

Dari sudut geopolitik pula, Malaysia perlu berani mendepani percaturan antarabangsa yang semakin mencengkam kuasa kecil dan sederhana.

Komitmen untuk menjalin diplomasi berasaskan keadilan, dialog dan kelestarian menjadikan Malaysia sebuah ‘honest broker’ dalam banyak rundingan penting antarabangsa.

Justeru, pembinaan bangsa bukan sahaja berlaku dalam sempadan geografi negara, tetapi turut terbina dalam citra Malaysia di mata dunia.

Di balik seluruh wawasan ini berdirinya satu susuk bernama Anwar Ibrahim – negarawan yang telah menunggu hampir tiga dekad sejak 1996 hingga 2024 untuk meletakkan cap telapak tangannya pada takdir bangsa dengan meletakkan dasar kepimpinannya.

Maka mustahil segala kemelut yang kompleks, huru-hara dan segala percanggahan dapat diurai hanya dalam tempoh setahun dua pemerintahannya.
RMK13 bukan sahaja pelan pembangunan lima tahun, tetapi manifestasi watak kepimpinan beliau.

Beliau bukan sekadar ingin membina ekonomi, tetapi ingin membina manusiawi. Bukan sekadar mahu memacu pencapaian, tetapi memugar kemuliaan.

Lantaran itu, agenda reformasi institusi termasuk Parlimen, pendidikan, tadbir urus GLC dan sistem antirasuah perlu berjalan seiring sebagai prasyarat menegakkan negara-bangsa yang bermaruah.

Sempena hampir tujuh dekad kemerdekaan negara, kita perlu bertanya semula: apakah erti kemerdekaan dalam abad ke-21?

RMK13 mengajak kita mentakrifkan semula kemerdekaan bukan hanya sebagai bebas daripada penjajah fizikal, tetapi sebagai kemampuan untuk berdiri teguh di pentas dunia dengan identiti sendiri. Kemerdekaan jiwa, budaya dan tamadun – itulah prasyarat menjadi bangsa besar.

Kesimpulannya, RMK13 adalah “jambatan peradaban” yang menghubungkan masa silam yang berakar kepada tradisi, masa kini yang bergelut dengan ketidaktentuan, dan masa depan yang penuh harapan.

Agar jambatan ini tidak roboh di tengah jalan, kita memerlukan rakyat khususnya generasi mudanya yang mempunyai kesedaran sejarah sebagai penyambung legasi; pemimpin yang berani mendahulukan nilai daripada pujian; serta institusi yang sedia direformasi demi hayat bangsa.

Dengan tekad dan visi kolektif ini, Malaysia bukan sekadar sedang bergerak ke arah negara maju; tetapi sedang membina tamadun yang bermaruah, berjati diri, dan kekal relevan dalam lipatan sejarah dunia.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Related Posts

MINDA TOK ABAH: Hati nurani dalam pembinaan negara bangsa

KITA telah berbicara tentang seorang negarawan yang dibentuk oleh jalan berdebu di Baling, jeriji besi penjara, dan pengalaman panjang memahami derita rakyat dari bawah. Negarawan yang melihat kuasa sebagai amanah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Antara tekanan subsidi, kos hidup dan realiti ekonomi negara

ADA yang bertanya, kenapa harga RON95 tidak dinaikkan kepada harga yang lebih tinggi atau diapungkan sahaja bagi mengurangkan bebanan nilai subsidi oleh negara? Secara realitinya, dasar kerajaan berkaitan harga bahan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Pahang perlu bertemu segera isu eksport pasir sungai

Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Pahang perlu bertemu segera isu eksport pasir sungai

Pemuda UMNO Bera harap titah Tengku Hassanal diberi perhatian Kerajaan Persekutuan

Pemuda UMNO Bera harap titah Tengku Hassanal diberi perhatian Kerajaan Persekutuan

Program kesihatan dan kesejahteraan Beratok 2026 meriahkan semangat kebersamaan penduduk

Program kesihatan dan kesejahteraan Beratok 2026 meriahkan semangat kebersamaan penduduk

Program K.A.W.A.N perkukuh penyampaian inisiatif kerajaan kepada rakyat

Program K.A.W.A.N perkukuh penyampaian inisiatif kerajaan kepada rakyat

Pahang terus jadi nadi utama kepentingan FELDA

Pahang terus jadi nadi utama kepentingan FELDA

Perlu penyelesaian jangka panjang trafik Telipok, alih bulatan tidak boleh tergesa-gesa

Perlu penyelesaian jangka panjang trafik Telipok, alih bulatan tidak boleh tergesa-gesa