
LAHAD DATU – Ops Martabat Sabah Electricity berjaya mengesan 170 rumah dan premis sekitar daerah ini terbabit dalam sambungan Elektrik Tidak Sah (SETS) dan Kes Usikan Pepasangan Meter (KUPM).
Sabah Electricity dalam perkongsiannya di Facebook rasmi memaklumkan, operasi selama tiga hari bermula selasa itu turut mendapat kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Lahad Datu.
“Semasa operasi ini, sebanyak 100 rumah dikesan terlibat dengan SETS dan 70 premis pula didapati mengusik meter secara tidak sah dengan anggaran kerugian RM273,000 sebulan.
“Aktiviti haram ini bukan sahaja membahayakan nyawa, malah menyebabkan kerugian besar kepada negara dan gangguan bekalan kepada pengguna yang sah,” kata Sabah Electricity, pada Jumaat.

Justeru, Opa Martabat akan diteruskan sehingga 30 Ogos hadapan dengan matlamat menurunkan kadar ‘System Loss’ di Lahad Datu daripada 17.17 peratus ke 15 peratus.
Orang awam diminta turut melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan elektrik kepada Hotline 15444 atau melalui aplikasi mySESB.





