
IPOH – Kerajaan Negeri Perak menyambut baik pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bakal memberi impak besar terhadap landskap ekonomi negeri melalui pelaksanaan projek-projek pembangunan berskala mega, sekali gus memperkukuh kedudukan Perak sebagai destinasi pelaburan strategik di rantau ini.
Antara projek utama yang diumumkan ialah pembangunan Kompleks Terminal Penggasan Semula (RGT) Ketiga negara yang akan dibangunkan di Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), dengan kerja-kerja awal dijangka dimulakan seawal tahun hadapan.
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, projek berimpak tinggi itu bukan sekadar memantapkan infrastruktur bekalan tenaga negara, malah diyakini mampu menjana ribuan peluang pekerjaan baharu, termasuk lebih 3,000 tenaga kerja mahir dalam bidang kimpalan.
“Ini adalah projek Kerajaan Persekutuan yang akan diumumkan secara terperinci oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengendalikannya, termasuk nilai pelaburan kepada Bursa Malaysia,” katanya.
Beliau menyifatkan pengumuman itu sebagai pencapaian signifikan dalam agenda pembangunan negeri, selaras dengan matlamat utama di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu penyediaan peluang pekerjaan berdaya saing kepada rakyat tempatan.
Beliau ditemui selepas merasmikan Nadwah Mendepani Cabaran Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Kerangka Syariah Peringkat Kebangsaan di Royal Perak Golf Club (RPGC), di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.

Mengulas lanjut, beliau menambah, pelaksanaan projek RGT Ketiga akan menjadi pemangkin utama kepada pembangunan menyeluruh di LuMIC yang dirancang dalam tujuh fasa selama tempoh 25 tahun.
“Kami berharap projek ini kekal bertapak di Lumut dan menjadi titik mula kepada pembangunan ekosistem industri tenaga dan maritim yang mampan,” jelas Saarani.
Pengumuman itu turut memperkukuh keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi Perak, khususnya dalam sektor strategik seperti logistik, kejuruteraan tenaga dan pembinaan kapal yang berasaskan pesisir.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembangunan lima projek mega dalam RMK13 termasuk terminal RGT Ketiga sebagai sebahagian strategi memperkukuh sekuriti tenaga negara dan menyokong pertumbuhan sektor maritim nasional.
Fasiliti baharu itu dirancang dengan kapasiti setara dua terminal sedia ada milik Petronas di Sungai Udang, Melaka dan Pengerang, Johor, menjadikannya antara pelaburan infrastruktur tenaga terbesar di wilayah utara Semenanjung.




