Segera haramkan penjualan vape, berisiko ancaman kesihatan remaja meningkat

PUTRAJAYA – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyokong penuh langkah Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape di Malaysia.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob berpandangan, ia merupakan satu langkah proaktif dan amat penting dalam usaha melindungi kesihatan awam, khususnya golongan belia dan orang belum dewasa (OBD) yang semakin terdedah kepada risiko penggunaan produk berbahaya tersebut.

Menurutnya, kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet Public Health pada 2024 merekodkan lebih sejuta individu di England kini menggunakan vape meskipun tidak pernah merokok sebelum ini.

“Perkara itu mencetuskan kebimbangan pakar kesihatan sedunia kerana vape kini bukan sahaja digunakan oleh perokok tegar untuk berhenti merokok tetapi telah menarik golongan yang belum pernah mengambil tembakau sebelum ini.

“Telahan umum bahawa menjadikan vape sebagai alternatif selamat berbanding rokok tradisional dalam mengurangkan ketagihan merokok ternyata meleset sama sekali. Malah ancaman penagihan vape lebih memudaratkan berbanding rokok tembakau.

“Hakikatnya, rokok elektronik mempunyai bahan kimia toksik mengakibatkan ketagihan nikotin yang boleh merosakkan paru-paru serta otak terutama di kalangan remaja. Justeru, MCPF mendesak pihak berwajib di peringkat Persekutuan mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape atau rokok elektronik secepat mungkin,” katanya menerusi kenyataan, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ayub berkata, tabiat menghisap vape atau rokok elektronik secara berterusan boleh mengakibatkan pengguna rokok elektronik itu terdedah kepada penyakit kronik seperti batuk, kahak berlebihan, sesak nafas serta keradangan paru-paru.

Lebih parah, tegasnya, pengguna boleh mengalami kerosakan paru-paru akut atau dikenali sebagai ‘E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury’ (EVALI) yang boleh membawa maut.

“EVALI adalah satu penyakit berkaitan kerosakan pada dinding salur pernafasan dalam paru-paru akibat penggunaan rokok elektronik yang berisiko membawa maut kepada pengguna. Pada Oktober 2019, Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) Amerika Syarikat memaklumkan bahawa penyakit tersebut telah meragut 33 nyawa dengan 1,299 individu sudah didiagnosis

“Di Malaysia, KKM melaporkan 41 kes EVALI dikesan berlaku bermula 2019 hingga 30 September 2024 serta memberi amaran kos rawatan penyakit itu dijangka melonjak kepada RM369 juta setahun menjelang 2030. Setakat ini, kos rawatan ditanggung kerajaan dianggarkan RM150,892.11 bagi setiap pesakit dimasukkan ke hospital selama 12 hari,” katanya.

Dalam pada itu, Ayub berkata, keperluan untuk KKM mencontohi Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang yang berani mengambil langkah proaktif pencegahan awal dengan menguatkuasakan larangan penjualan vape, selain tidak lagi mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik itu.

“MCPF berpendapat, jika perkara itu dibiarkan dan tidak ditangani lebih awal, maka ia dibimbangi semakin melarat seperti isu penagihan dan penyalahgunaan dadah yang kekal menjadi musuh nombor satu negara sejak 1980-an.

“Malah, keadaannya semakin membimbangkan seperti ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Berbilion ringgit telah dibelanjakan untuk memerangi penyalahgunaan dadah namun isu ini masih menjadi ancaman besar kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ayub berpendapat, kawal selia terhadap produk merokok melalui pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) perlu dipertingkatkan di samping pemantauan berkala dalam mengesan penjualan produk vape secara haram menerusi platform dalam talian kepada golongan belia.

Katanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau dan bertindak secara bersepadu dalam menghentikan pembekalan dan perjualan rokok seludup.

“Penagihan dan penyalahgunaan dadah bermula daripada tabiat merokok dan kini ia merebak dalam penggunaan vape. KKM perlu memberi perhatian utama terhadap saranan dan desakan oleh pelbagai pihak supaya mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok elektronik ini.

“Selain itu, laksana kempen kesedaran yang melibatkan media sosial dan media arus perdana seperti televisyen, radio, dan papan iklan diperhebatkan. Kempen ini perlu memfokuskan kepada golongan belia dengan mengguna pakai platform media sosial seperti Instagram, TikTok, dan YouTube.

“Gunakan tokoh belia, pempengaruh media sosial dan pengamal perubatan juga perlu memainkan peranan dalam berkongsi fakta sebenar mengenai risiko vape melalui penghasilan video pendek dan infografik menarik,” katanya.

Terdahulu, KKM memaklumkan pihaknya sedang menuju ke arah pengharaman sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape bagi mengekang isu itu secara lebih berkesan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun berkata, pelaksanaan pengharaman itu perlu dibuat secara teliti mengambil kira pelbagai aspek termasuk impak kepada perundangan, penguatkuasaan dan kesihatan awam.

Katanya, penelitian menyeluruh sedang dijalankan bagi menilai keberkesanan langkah kawalan sedia ada serta keperluan dasar yang lebih komprehensif demi melindungi kepentingan kesihatan rakyat secara keseluruhan.

Related Posts

Amanah kepimpinan dalam demokrasi Malaysia

KITA telah berbicara tentang pembinaan negara bangsa dan hati nurani sebuah tamadun. Tentang bagaimana sesebuah negara tidak mampu berdiri hanya melalui kekuatan institusi atau pembangunan material semata-mata, tetapi memerlukan kesedaran…

Lebih lanjut

teruskan membaca
54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

SEPANG – Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan sebanyak 54 kapal di bawah misi Global Sumud Flotilla (GSF) kini berada di garisan kuning dua, kira-kira 340 batu nautika dari pantai…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Villa ke Liga Juara-Juara lepas kalahkan Liverpool

Villa ke Liga Juara-Juara lepas kalahkan Liverpool

Gerakan Setia UMNO bangkit semangat pemuda FELDA

Gerakan Setia UMNO bangkit semangat pemuda FELDA

MDLBS komited tingkat mutu perkhidmatan di Sibu Jaya

MDLBS komited tingkat mutu perkhidmatan di Sibu Jaya

Saringan awal pastikan warga IPD Limbang kekal cergas

Saringan awal pastikan warga IPD Limbang kekal cergas

Kecemerlangan Dr Velerie bukti pendidikan memanusiakan manusia – Fadhlina

Kecemerlangan Dr Velerie bukti pendidikan memanusiakan manusia – Fadhlina

Amanah kepimpinan dalam demokrasi Malaysia

Amanah kepimpinan dalam demokrasi Malaysia