
MIRI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan untuk menganjurkan Jualan Rahmah MADANI secara purata 12 kali sebulan, atau 3 kali seminggu, di kawasan Parlimen Miri.
Sasaran ini ditetapkan selepas peruntukan untuk Jualan Rahmah di seluruh negara digandakan daripada RM300 juta kepada RM600 juta.
Menurut Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Mah, satu Program Jualan Rahmah bergerak telah diadakan di pekarangan Surau Darul Falah Kampung Lembah Hijau Riam dan SMK Pujut Miri.
Program di Surau Darul Falah dianjurkan dengan kerjasama Emart Supermarket Riam, dan menawarkan pelbagai barangan keperluan harian dengan diskaun sehingga 30 peratus dengan 19 jenis barang dijual pada harga subsidi.
Program Jualan Rahmah MADANI merupakan inisiatif di bawah Payung Rahmah untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat. Barangan seperti beras, telur, ayam, tepung, minyak masak, dan tepung susu ditawarkan pada harga istimewa.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan MADANI dan KPDN atas keprihatinan berterusan terhadap keperluan rakyat, terutamanya dalam memastikan bantuan sampai terus kepada komuniti di kawasan luar bandar dan bandar.
“Program sebegini akan terus dipergiat dan diperluaskan agar lebih ramai penduduk Miri serta rakyat di seluruh negara mendapat manfaat secara langsung,” katanya semasa meninjau program Jualan Rahmah bergerak di pekarangan Surau Darul Falah Kampung Lembah Hijau Riam di sini, petang Sabtu.
Untuk rekod, sehingga 2 Ogos 2025, sebanyak 59 Jualan Rahmah telah dianjurkan di kawasan Parlimen Miri. Ini bersamaan dengan purata 7-8 kali sebulan, berbanding purata 4 ke 5 kali sebulan pada tahun 2024 di mana Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan Jualan Rahmah akan ditambah.
Menurut KPDN, Program Jualan Rahmah ini dapat mengurangkan kos sara hidup dan memberi peluang kepada penduduk setempat untuk mendapatkan barangan keperluan dengan lebih mudah dan murah.
KPDN turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI atas keprihatinan berterusan terhadap keperluan rakyat, terutamanya dalam memastikan bantuan sampai terus kepada komuniti di kawasan luar bandar dan bandar.







