KUALA KANGSAR – Tujuh buah kenderaan termasuk sebuah lori muatan daging terlibat dalam kemalangan di Kilometer 234.0 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, berhampiran laluan antara Kuala Kangsar dan Changkat Jering, pada Khamis.
Kejadian sekitar jam 11 pagi itu dipercayai berlaku apabila lori yang dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun hilang kawalan sebelum merempuh enam kenderaan di hadapannya.
Bagaimanapun, insiden berkenaan tidak melibatkan sebarang kematian atau kecederaan serius.
Menurut kenyataan PLUS Malaysia Berhad menerusi aplikasi X, kemalangan berkenaan mengakibatkan kesesakan luar biasa di kedua-dua arah lebuh raya apabila laluan arah utara ditutup sementara bagi kerja-kerja pengalihan kenderaan.

“Laluan arah utara sesak sepanjang 14 kilometer manakala laluan arah selatan turut terkesan dengan kesesakan sepanjang 13 kilometer.
“Setakat jam 4.13 petang, laluan arah utara masih ditutup dan usaha pengalihan kenderaan masih giat dijalankan. Laluan kontra masih diaktifkan bagi melancarkan pergerakan trafik,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi arahan anggota pengawal trafik serta papan tanda keselamatan di lokasi selain mempertimbangkan penggunaan laluan alternatif.






