PUTRAJAYA – Pelan tindakan sara hidup negara yang baharu akan diperkenalkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sebagai usaha menyeluruh dalam memperkukuhkan perancangan, pelaksanaan serta pemantauan strategi untuk menangani kos sara hidup.
Berdasarkan dokumen RMK13 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi, pelan tindakan baharu itu antara lain bakal memberi tumpuan kepada penstabilan harga barangan dan perkhidmatan serta pengurusan subsidi.
“Pembangunan terangkum dari perspektif pelbagai dimensi akan diperkukuh bagi mempertingkatkan mobiliti dan kesepaduan sosial.
“Strategi akan terus ditumpukan kepada ikhtiar memperkukuhkan pengurusan kos sara hidup, menangani kemiskinan, merapatkan kesenjangan serta menambah baik perlindungan sosial,” menurut dokumen itu, pada Khamis.
Selain itu, dokumen terbabit turut memaklumkan, penguatkuasaan secara menyeluruh juga akan dilaksana dengan mengintegrasikan skop penguatkuasaan di seluruh rantaian bekalan serta pengedaran bagi menangani gejala pencatutan dan antipersaingan.
Katanya, inisiatif bagi menawarkan barangan dan perkhidmatan pada harga berpatutan seperti Program Jualan Rahmah MADANI akan diperluaskan ke lebih banyak lokaliti bersesuaian, terutama di kawasan luar bandar.
“Menerusi strategi menangani kemiskinan, usaha bersepadu akan terus dipergiatkan untuk membasmi kemiskinan melalui pewujudan peluang yang saksama dari perspektif pelbagai dimensi termasuk pendidikan, kesihatan dan taraf hidup.
“Dasar yang menyeluruh pada peringkat nasional akan digubal untuk menyediakan hala tuju serta pendekatan baharu dalam menangani kemiskinan pelbagai dimensi.
“Pangkalan Data Utama (PADU) akan dijadikan sumber rujukan dalam mengenal pasti kumpulan sasar bagi pelaksanaan intervensi bantuan sosial dan program kemiskinan untuk mengurangkan ralat pemasukan dan penyisihan,” menurut dokumen itu.

Sementara itu, dokumen itu memaklumkan reformasi perlindungan sosial yang dimulakan bawah Kajian Separuh Penggal RMK12 akan diteruskan dalam RMK13 dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan perlindungan sosial secara menyeluruh.
“Sehubungan itu, Dasar Perlindungan Sosial Negara akan dirangka bagi menyediakan liputan perlindungan yang terangkum dan menyeluruh kepada rakyat.
“Selain itu, rangka kerja sistem persaraan serta perlindungan keselamatan sosial akan ditambah baik, termasuk mekanisme pendaftaran dan liputan caruman mandatori skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan juga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” kata dokumen terdebut.
Dalam tempoh RMK12, katanya, beberapa petunjuk sosioekonomi terpilih menunjukkan pencapaian baik dengan pendapatan purata bulanan isi rumah meningkat daripada RM7,901 pada 2019 kepada RM9,155 pada 2024.
“Insiden kemiskinan mutlak berada pada tahap 5.8 peratus pada 2024 berbanding 5.6 peratus pada 2019. Pencapaian ini lebih baik daripada insiden kemiskinan pada 2020 yang mencecah 8.4 peratus akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi dokumen sama, sebanyak 8.5 juta isi rumah telah menerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 2025 dengan 5.4 juta isi rumah turut menerima Sumbangan Asas Rahmah.
“Hingga Jun lalu, sebanyak 6,171 isi rumah telah menyertai program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dengan 442 peserta bawah Pembasmian Miskin Tegar berjaya meraih pendapatan melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan makanan.
“Seramai 1,877 peserta IPR-INTAN dan IPR-INSAN telah berjaya meningkatkan pendapatan bulanan lebih RM2,000,” katanya.






