
KOTA KINABALU – Sabah Law Society (SLS) menyeru agar siasatan terhadap kematian pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir dijalankan secara menyeluruh, telus dan bebas, dengan setiap fakta didedahkan dan semua prosedur disemak secara jujur serta bertanggungjawab.
Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin berkata, sebarang kelemahan dalam sistem perlu dikenal pasti dan diperbaiki segera demi menjamin keselamatan kanak-kanak serta memulihkan keyakinan masyarakat terhadap institusi yang sepatutnya melindungi mereka.
“Ini bukan soal menyalahkan sesiapa tetapi memastikan tiada lagi kanak-kanak yang terdedah kepada bahaya,” katanya.
Beliau turut menggesa agar semua institusi yang terlibat dalam kes ini bertindak dengan keberanian dan integriti, tanpa berlindung di sebalik sikap defensif, kesenyapan atau kelewatan.
Menurutnya, pemergian Zara tidak berlaku dalam ruang kosong, sebaliknya telah membangkitkan persoalan serius tentang keselamatan di sekolah, kebajikan pelajar dan kecekapan respons institusi berkaitan.
Beliau menyatakan komitmen untuk terus memantau perkembangan kes ini dan menghormati keputusan pihak keluarga yang telah melantik peguam bagi meneruskan usaha mendapatkan keadilan.
Nazim berkata pihaknya mengambil maklum kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, yang memaklumkan bahawa siasatan kini berada di peringkat akhir dan akan dirujuk ke Bukit Aman untuk analisis lanjut.
“Lebih 60 saksi telah dirakam keterangan dan tiada sebarang kemungkinan, termasuk unsur buli, diketepikan dalam siasatan.
“Apa yang berlaku dalam kes tragik ini mesti menjadi titik perubahan dalam sistem kita.
“Jika anak-anak kita tidak selamat, tiada perkara lain yang lebih penting,” ujarnya.


