
DATUK Seri Rafizi Ramli gembira apabila hampir 95 peratus perkara yang dirangka untuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) ketika beliau memegang jawatan Menteri Ekonomi, dikekalkan.
Menurutnya, walaupun belum meneliti sepenuhnya setiap muka surat dalam dokumen RMK13, beliau berpuas hati selepas membaca ringkasan eksekutif yang menunjukkan majoriti kandungan asal diteruskan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya gembira kerana hampir 95 peratus daripada yang dibangunkan sepanjang proses berjalan sehingga saya meletak jawatan, kekal dalam RMK13.
“Semua reformasi besar melibatkan perubahan sistem pendidikan, struktur ekonomi serta agenda baharu seperti menangani isu negara menua dan pembangunan sektor ketiga… Semuanya dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Rafizi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Ekonomi yang telah bertungkus-lumus menyiapkan dokumen RMK13 sepanjang tempoh 20 bulan lalu.
“Saya ucap terima kasih dan tahniah kepada semua warga Kementerian Ekonomi yang bertungkus-lumus menyediakan dokumen ini selama 20 bulan.
“Alhamdulillah, akhirnya ura-ura itu hanya reaksi politik sahaja, bermakna kepimpinan Kementerian Ekonomi berjaya mempertahankan supaya perancangan jangka masa panjang negara jangan dicampur aduk dengan hiruk-pikuk politik,” katanya.
Beliau berkata, tumpuan selepas ini adalah memastikan pelaksanaan RMK13 berjalan lancar tanpa mengira siapa yang mentadbir negara.
“Doa saya, rakyat juga yang akan mendapat manfaat di masa akan datang,” katanya.





