
KOTA KINABALU – “Insya-Allah, satu hari nanti saya ingin menyumbang kembali kepada negeri Sabah.”
Demikian kata seorang penerima Biasiswa Yayasan Sabah, Nur Lailatul Qadrina Baso, yang berasal dari Sandakan yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Matrikulasi, Negeri Sembilan.
Lailatul berkata, mahu jadikan biasiswa ini sebagai motivasi untuk terus berjaya dan membanggakan ibu bapanya.
“Mereka adalah pendorong utama saya, selain inspirasi daripada abang dan kakak saya.
“Saya sangat bersyukur dapat dianugerahkan biasiswa. Saya rasa terharu lah dan dengan adanya anugerah biasiswa ini dapat membantu kurangkan beban ibu bapa saya sedikit sebanyak untuk saya sambung pelajaran,” katanya semasa ditemui oleh wartawan TMP.

Sementara itu, seorang lagi penerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) iaitu pelajar SMK Gadong, Beaufort, Nurhazwa Chenawe, yang memperoleh keputusan 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Saya sangat bersyukur kerana terpilih menerima biasiswa ini. Harapan saya adalah untuk menggunakan sepenuhnya bantuan ini bagi persiapan akademik saya nanti kerana saya berasal daripada keluarga yang susah.
“Biasiswa ini sangat membantu meringankan beban ibu bapa saya dan membolehkan saya fokus sepenuhnya kepada pelajaran di universiti,” katanya.
Manakala, bagi Ahmad Muizzuddin Supinen dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Toh Puan Hajah Rahmah, Kinarut merupakan penerima Biasiswa Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), pengiktirafan itu menjadi bukti bahawa usaha dan pengorbanan dalam pelajaran tidak sia-sia.
“Biasiswa ini hasil sokongan dan dorongan ibu bapa saya. Mereka banyak berkorban sejak saya kecil. Saya mahu mengubah nasib keluarga dan bercadang menyambung pengajian dalam bidang Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar, Mesir,” katanya.

Ahmad turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah atas penghargaan ini.
“Terima kasih banyak-banyak kerana atas sokongan dan penghargaan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah.
“Semestinya penghargaan ini memberikan dorongan dan motivasi kepada pelajar-pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 117 pelajar cemerlang menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-36 dalam majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Isnin.
Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah.






