PUTRAJAYA – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) secara rasmi mengumumkan pelantikan semula Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusinya.
Menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan hari ini, FELDA menyatakan rasa sukacita atas pelantikan itu, yang sekali gus memberi kepercayaan terhadap kualiti kepimpinan dimiliki Ahmad Shabery dalam mencorak hala tuju agensi itu ke arah lebih cemerlang.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan diberikan kepadanya untuk terus memimpin FELDA.
Pengurusan dan seluruh warga kumpulan FELDA menyambut baik pelantikan semula berkenaan dan menyatakan keyakinan bahawa pengalaman luas, wawasan strategik serta komitmen tinggi yang dimiliki bekas ahli Parlimen Kemaman itu akan terus membawa FELDA melangkah lebih jauh.
FELDA juga yakin di bawah kepimpinan beliau, agensi itu mampu bergerak selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.





