
“KITA boleh lakukan apa sahaja di sebalik skrin, tetapi kesannya kepada emosi dan mental individu boleh menjadi sangat parah,” tegas pempengaruh, Adam Eji, berkenaan isu buli siber yang semakin membimbangkan.
Pemilik nama sebenar, Ejiofor Adam Young, 27, merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Media dari Universiti Malaya (UM) itu berkata, dia pernah melalui pengalaman menjadi mangsa buli siber seawal kemunculan beliau di platform media sosial kira-kira empat tahun lalu.
Menurut Adam, antara bentuk kecaman yang diterima termasuklah komen berbaur perkauman dan fizikal terhadap latar belakang dirinya sebagai seorang Melayu-Afrika.
“Pada awalnya memang mencabar. Orang ramai tak biasa tengok orang macam saya di media sosial. Komennya kadang-kadang ‘snarky’, penuh sentimen perkauman. Tapi saya dah biasa kena buli dari kecil, jadi saya tidak terlalu terkesan secara emosi,” katanya kepada The Malaysia Press.
Adam mengakui bahawa terdapat ancaman serius, yang pernah mendorong dia membuat laporan polis tetapi mengambil keputusan menarik balik semula laporan berkenaan dan menganggapnya sebagai lumrah biasa di media sosial.
Dia turut berkongsi bahawa untuk menjaga kesihatan mentalnya, dia mengambil keputusan untuk menjauhkan diri sementara daripada media sosial, sebelum kembali dengan pendekatan yang lebih sihat dan matang.
Meskipun pernah melalui pengalaman getir, Adam tetap tidak gentar menggunakan media sosial kerana platform itu juga menjadi punca rezekinya sebagai ‘content creator’ dan pelakon.
“Saya tidak takut guna media sosial sebab saya tahu apa yang saya buat. Tapi saya lebih berhati-hati. Kita tak tahu niat orang di sebalik komen,” ujarnya.
Tambahnya, sokongan daripada keluarga, rakan-rakan, peminat serta agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sangat membantu beliau melalui detik sukar tersebut.
“Saya pernah berkolaborasi dengan MCMC. Mereka maklumkan bahawa saya boleh laporkan terus jika ada komen atau ancaman yang melampau. Saya juga bersyukur sebab ada keluarga, rakan-rakan dan pengikut yang jadi macam ‘tentera’ saya untuk mempertahankan saya dari komen-komen toksik,” katanya.
Adam menegaskan bahawa buli siber mampu memberi kesan yang sangat mendalam terhadap kesihatan mental seseorang, bergantung kepada bagaimana individu tersebut menguruskan tekanan tersebut.
“Tak semua orang kuat untuk hadap. Sebab itu penting untuk cari sokongan. Tak semestinya terus ke terapi, tapi sokongan keluarga, rakan dan penggunaan ciri keselamatan media sosial macam sekat, tapis dan membuat laporan di aplikasi ini sangat membantu,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, dia menyeru agar masyarakat, khususnya pengguna muda media sosial, lebih celik dalam penggunaan internet yang selamat.
Katanya, perlindungan mental dan emosi perlu diutamakan berbanding perhatian dalam talian.
“Ini zaman 2025, sekat orang bukan isu besar. Kesihatan mental kita lebih penting. Kita kena belajar gunakan teknologi dengan bijak agar kita boleh hidup dan berinteraksi dalam dunia digital tanpa gangguan yang merosakkan,” katanya.
Kempen Internet Selamat yang giat dilaksanakan oleh pihak berwajib turut disokong oleh Adam Eji, dengan harapan agar lebih ramai pengguna tampil bersuara dan mengambil langkah berwaspada dalam menangani isu buli siber yang semakin berleluasa.



