
KOTA BELUD – Pembinaan bangunan baharu Sekolah kebangsaan (SK) Kuala Abai menjadi bukti kesungguhan Kerajaan MADANI dalam menangani isu sekolah daif, khususnya di Sabah.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus bekerja keras dalam memastikan murid dan guru menikmati suasana persekolahan yang selesa.
“Tiada apa yang lebih membahagiakan selain melihat murid dan guru selesa mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam persekitaran sekolah yang kondusif.
“Hari ini saya ke Kota Belud, Sabah untuk menyempurnakan projek siap bangunan gantian SK Kuala Abai.
“Projek yang bernilai RM20 juta ini bagi menangani isu bangunan sekolah daif,” katanya dalam satu hantaran Facebook, pada Khamis.

Kos pembinaan yang menelan peruntukan sehingga RM20 juta tersebut merangkumi pembinaan blok pentadbiran, blok akademik dengan 12 bilik darjah, kantin, tandas dan kemudahan-kemudahan lain.
Jelasnya, sehingga bulan Julai tahun ini, sebanyak 390 projek pembangunan semula sekolah daif dilaksanakan di Sabah dengan kos keseluruhan berjumlah lebih RM6 bilion.
“Sebanyak 59.7 peratus projek telah siap sepenuhnya, 16.4 peratus dalam pembinaan dan 23.8 peratus pada peringkat prabina,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, komitmen Kerajaan MADANI jelas terutamanya dalam meningkatkan akses pendidikan di seluruh negara yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
“SK Kuala Abai mempunyai potensi yang baik dalam bidang sukan dan telah mempamerkan kecemerlangan yang luar biasa dalam permainan hoki,” ujarnya.



