Kadar kehadiran pelajar di Pulau Pinang amat membanggakan – TKM 1

GEORGE TOWN – Kadar keciciran pelajar di Pulau Pinang berada pada tahap yang tidak kritikal, dengan pelbagai inisiatif digerakkan bagi menjejak dan membawa semula pelajar ke alam persekolahan.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, kadar kehadiran pelajar ke sekolah di negeri ini mencecah 92 peratus, manakala hanya kira-kira 8 peratus direkodkan sebagai pelajar tercicir.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, dianggarkan 3 hingga 5 peratus merupakan pelajar yang mengikuti pendidikan tahfiz di institusi tidak berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, manakala baki 3 peratus pula terdiri daripada pelajar yang langsung tidak bersekolah.

“Pelajar tahfiz yang tidak berdaftar dianggap tercicir kerana tidak berada dalam sistem pendidikan rasmi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Jika kita ketepikan pelajar tahfiz yang tidak berdaftar, maka kadar keciciran sebenar hanya kira-kira tiga peratus iaitu pelajar yang langsung tidak hadir ke sekolah rendah atau menengah kebangsaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Mohamad sebelum itu merasmikan Karnival Pendidikan Inklusif Jom Sekolah Peringkat Pulau Pinang di Sunshine Mall di sini hari ini.

Mengulas lanjut, bagi menangani masalah tersebut, pelbagai pihak terlibat dalam usaha menjejak pelajar tercicir termasuk pemimpin masyarakat, pengurusi masjid, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat.

“Melalui pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri dan jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak, kita berjaya menjejak pelajar yang tercicir dan menggalakkan mereka kembali ke sekolah.

“Usaha ini dilihat berjaya mengurangkan kadar keciciran secara berperingkat. Dalam masa sama, JPN turut memantau kumpulan pelajar yang dikategorikan sebagai berisiko tercicir, iaitu pelajar yang mendaftar tetapi kerap tidak hadir ke sekolah.

“Golongan ini membabitkan kira-kira 2 peratus dan sering terkesan akibat masalah pencapaian akademik, kekangan kewangan serta keperluan untuk bekerja,” ujarnya.

Tambah Mohamad, Pulau Pinang kekal komited untuk mencapai sasaran sifar keciciran pelajar, walaupun perkara itu agak mencabar.

“Ia bukan sesuatu yang mustahil. Dengan pelaksanaan program kesedaran dan kolaborasi berterusan, kami yakin sasaran ini boleh dicapai, insyaAllah kita sasar sifar keciciran menjelang tahun 2030,” katanya.

“Walaupun buat masa ini, Pulau Pinang tidak berada dalam keadaan kritikal tetapi kita tidak boleh leka,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak semua pihak untuk terus berganding bahu demi memastikan setiap anak di Pulau Pinang mendapat akses pendidikan yang sewajarnya.

Mengulas mengenai Karnival Pendidikan Inklusif Jom Sekolah Peringkat Pulau Pinang, Mohamad berkata, ia menghimpunkan lebih 300 pelajar dan guru dari pelbagai daerah, dengan penglibatan aktif agensi kerajaan, 13 institusi Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta NGO yang turut membuka reruai pameran.

Katanya, para peserta turut berpeluang mengikuti sesi perkongsian dan forum yang memberi fokus kepada nilai pendidikan, keselamatan pelajar dan peluang pendidikan alternatif, sekali gus menjadikan karnival itu sebagai satu pengalaman pembelajaran yang menyeluruh dan bermakna.

“Dalam kerangka Penang2030, usaha memperkasa akses pendidikan adalah salah satu strategi utama untuk menaik taraf kualiti hidup rakyat.

“Maka, program seperti ‘Jom Sekolah’ ini adalah cerminan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan tiada anak murid yang tercicir dan setiap insan diberi ruang untuk berkembang mengikut potensi masing-masing,” ujarnya.

Tambahnya, prinsip pendidikan inklusif menekankan bahawa setiap murid tanpa mengira latar belakang, keupayaan atau cabaran berhak mendapat pendidikan yang berkualiti.

Related Posts

Pelaksanaan MA63 terus diperkasa sebagai agenda nasional – Mustapha

KOTA KINABALU – Kerajaan MADANI terus memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai agenda nasional menerusi rundingan dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah serta Kerajaan Sarawak. Menteri di Jabatan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Lima ditahan ganggu tugas penguat kuasa di Tasek Bera

BERA – Lima individu termasuk empat wanita ditahan kerana bertindak menghalang tugas pihak berkuasa yang menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera (Ramsar) di sini, pagi semalam.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pelaksanaan MA63 terus diperkasa sebagai agenda nasional – Mustapha

  • By Ezmie
  • September 16, 2026
Pelaksanaan MA63 terus diperkasa sebagai agenda nasional – Mustapha

Netizen bangga PMX tidak ‘termakan’ soalan provokasi isu Gaza, Israel

Netizen bangga PMX tidak ‘termakan’ soalan provokasi isu Gaza, Israel

PRU16: Demi rakyat atau elak lebih ramai pemimpin UMNO didakwa rasuah?

PRU16: Demi rakyat atau elak lebih ramai pemimpin UMNO didakwa rasuah?

Lima ditahan ganggu tugas penguat kuasa di Tasek Bera

Lima ditahan ganggu tugas penguat kuasa di Tasek Bera

Anwar tegaskan Malaysia tidak jadi laluan kargo sokong operasi ketenteraan Israel

Anwar tegaskan Malaysia tidak jadi laluan kargo sokong operasi ketenteraan Israel

AMK Miri tuntut UMNO bertanggungjawab, tidak normalisasi penghinaan agama

AMK Miri tuntut UMNO bertanggungjawab, tidak normalisasi penghinaan agama