
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dijadual merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-58 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Majlis perasmian itu dihadiri oleh para Menteri Luar ASEAN, Menteri Luar Timor-Leste serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, yang turut dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri sebelum majlis berkenaan.
Acara diteruskan dengan Sesi Pleno AMM ke-58, disusuli Sesi Pemukiman AMM yang akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Pemukiman AMM yang terdahulu, yang berlangsung di Langkawi pada Januari lalu, menekankan beberapa perkara penting termasuk nasihat kepada Myanmar, penilaian terhadap kemajuan rundingan Kod Tatalaku Laut China Selatan (COC), serta iltizam untuk memperkukuh perpaduan dan ketahanan ASEAN.
Turut dalam agenda ialah majlis menandatangani Instrumen Penyertaan kepada Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), yang melibatkan penyertaan Menteri-Menteri Luar ASEAN serta Setiausaha Agung ASEAN, serta Kim Hourn.
AMM Ke-58 serta Mesyuarat Berkaitan diadakan di bawah Kepengerusian Malaysia bagi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Sebanyak 24 mesyuarat peringkat menteri dijadualkan berlangsung sepanjang persidangan, termasuk sesi libat urus bersama Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog Sektoral.
Persidangan berprofil tinggi yang berlangsung dari 8 hingga 11 Julai ini menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan dari dalam dan luar rantau, menjadikannya antara perhimpunan terbesar Menteri-Menteri Luar serta diplomat kanan dari seluruh dunia.
Kesemua Menteri Luar ASEAN hadir dalam mesyuarat ini kecuali Myanmar yang diwakili oleh pegawai kanan Kementerian Luarnya.
Menteri Luar Timor-Leste pula hadir sebagai pemerhati rasmi.
Persidangan ini dijangka membincangkan pelbagai isu serantau dan global yang mendesak, memperkukuh kerjasama antara negara anggota dan rakan dialog, serta menggerakkan agenda keselamatan dan kelestarian rantau ASEAN.
Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN buat kali kelima, selepas kali terakhir memegang jawatan tersebut pada tahun 2015. Sebelumnya ialah pada tahun 1977, 1997 dan 2005.







