
KERAJAAN memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap perkhidmatan kecantikan susulan maklum balas daripada orang awam dan penggiat industri.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga memegang portfolio Menteri Kewangan, setelah mengambil kira sentimen umum menjelang penguatkuasaan peluasan SST pada 1 Julai ini.
Keputusan itu meliputi perkhidmatan seperti rawatan kuku, rawatan muka dan pendandan rambut kekal dikecualikan.
Menurut kenyataan itu, pengecualian berkenaan merupakan antara beberapa penyesuaian yang diumumkan oleh kementerian sebagai langkah untuk menambah baik struktur cukai serta mengurangkan impaknya terhadap rakyat dan perniagaan kecil.
“Kerajaan MADANI kekal komited memastikan semakan semula SST bersifat progresif serta mengurangkan kesan terhadap barang keperluan asas rakyat dan perniagaan kecil,” jelas kenyataan itu.
Penyesuaian tersebut dibuat selepas kerajaan menerima maklum balas meluas daripada orang awam dan kumpulan industri.
Pengusaha kedai gunting rambut dan salun kecantikan sebelum ini menyuarakan kebimbangan bahawa cukai terhadap perkhidmatan seperti rawatan rambut dan rawatan wajah akan membebankan perniagaan kecil serta pengguna berpendapatan rendah.
Sebagai sebahagian daripada langkah mengurus tekanan kos sara hidup, kerajaan turut mengecualikan beberapa jenis buah import daripada cukai jualan.
Buah-buahan tersebut termasuk epal, oren, limau mandarin dan kurma.
MOF turut mengesahkan bahawa barangan makanan asas seperti beras, ayam, daging lembu, sayur-sayuran, telur dan pelbagai jenis ikan tempatan, termasuk ikan selar, tongkol dan cencaru, sama ada segar, disejukkan atau sejuk beku, kekal dikecualikan daripada cukai.
Ikan-ikan ini merupakan sumber protein utama bagi kebanyakan isi rumah kerana harganya yang mampu milik dan mudah diperoleh.
Untuk meringankan beban perniagaan kecil, MOF turut memutuskan untuk menaikkan had nilai ambang pendaftaran bagi perkhidmatan pajakan atau sewaan serta perkhidmatan kewangan, daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
Ini bermakna hanya syarikat yang menjana pendapatan melebihi RM1 juta setahun daripada perkhidmatan tersebut diwajibkan mengenakan cukai sebanyak 8 peratus.
Bagi perkhidmatan kewangan pula, cukai hanya dikenakan terhadap aktiviti berasaskan yuran atau komisen.
Justeru, MOF turut mengingatkan orang awam dan pihak berkepentingan agar merujuk hanya kepada maklumat yang disahkan berkaitan pelaksanaan SST, termasuk pengumuman rasmi, garis panduan, soalan lazim serta perundangan subsidiari yang tersedia di laman sesawang MOF dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Pusat Panggilan SST Jabatan Kastam di talian 1-300-888-500 atau melalui talian khas yang disediakan.
Pelaksanaan peluasan SST akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.







