
KANGAR – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak kandung mereka sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Tertuduh, Wong Weng Lun, 37, dan isterinya, Wong Saw Yuen, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Menurut pertuduhan, kejadian berlaku di sebuah rumah di Taman Desa Saujana, Arau pada pukul 12.15 tengah hari, 18 Jun lalu.
Ketika itu, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun 8 bulan tersebut berada di bawah jagaan pasangan terbabit yang merupakan penjaga sahnya.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Poad manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, S. Devandran.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM30,000 setiap seorang namun peguam memohon dikurangkan kepada RM20,000 atas alasan pendapatan rendah serta bebanan tanggungan anak.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 setiap seorang dengan syarat melapor diri sebulan sekali di balai polis dan tidak mengganggu mangsa.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Julai depan manakala hanya tertuduh wanita membayar jaminan manakala suaminya ditahan di Pusat Koreksional Perlis.






