
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius kesilapan maklumat oleh sebuah akhbar tempatan berhubung infografik membabitkan identiti Ketua Polis Negara (KPN) baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berpandangan, kesilapan tersebut tidak sepatutnya berlaku berikutan Polis Diraja Malaysai (PDRM) telahpun mengeluarkan profil yang sahih.
“Jadi, untuk sebuah media yang sudah lama bertapak, sudah tentu faham tentang disiplin pelaporan ini. Apa disiplin pertama? Mengesahkan ketepatan maklumat, terutama kalau ianya terlalu jelas seorang pegawai polis kanan puluhan tahun pembabitan, tiba-tiba tersebar maklumat yang sangat jelas mudah begitu saja dipercayai, kemudian disiarkan oleh media.
“Takkanlah tak ada satu bahagian untuk menghubungi (telefon) mengesahkan, dan itu tidak dibuat ketika di luar sana, satu keadaan yang kita faham perbedaan politik, sentimen kebencian dan sebagainya terus disemarakkan.
“Apabila untuk segmen masyarakat yang macam ini, bila dihidangkan berita yang macam itu, dia macam orang mengantuk disorongkan bantal,” katanya kepada media ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan KDN, pada Isnin.
Terdahulu, ketika berucap pada perhimpunan berkenaan Saifuddin mempersoalkan tindakan akhbar berkenaan yang tidak peka dengan kandungan infografik sebelum ia diterbitkan.
“Bebas melapor bukan bebas menyebarkan maklumat yang macam itu.Orang tengok undang-undang kamu ada, kamu ada tak keberanian tentang ini. Di sisi lain keberanian ada, bertindak saja, panggil pun sudahlah,” katanya.
Tegasnya, sepanjang penglibatan beliau dalam PKR dan sebagai Setiausaha Agung parti itu, beliau sendiri tidak pernah melihat Mohd Khalid di dalam mana-mana acara anjuran parti.
“Saya Setiausaha Agung 14 tahun, daripada ahli itu kosong, sehingga 1.1 juta. Kat mana ahli pimpinan Datuk Khalid ni? Tak pernah datang mesyuarat ke apa? Memang saya tak pernah nampak dia.
“Tetapi, satu surat khabar nasional, etika kewartawanannya apa dia? Terutama seorang penjawat jawatan yang begitu tinggi dalam pasukan polis takkan senang-senang kamu siarkan tujuannya apa?
“Untuk memancing emosi, sebab penerimaan sentimen politik di luar yang begitu tajam,” katanya.
Terdahulu, akhbar terbabit memohon maaf atas kesilapan penyiaran infografik di media sosial yang memaparkan Khalid sebagai ahli PKR.
Dalam kenyataannya, akhbar terbabit mendapati, kesilapan tersebut berpunca daripada tindakan seorang staf di Unit Media Sosial yang telah menggunakan templat reka bentuk lama, yang pernah digunakan dalam poster melibatkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebelum ini, yang menjadi ahli PKR dan bekas ketua PKR Kedah.
Akhbar itu berkata, staf berkenaan serta penyelia Unit Media Sosial yang meluluskan infografik berkenaan akan digantung tugas buat sementara waktu, selain menjalankan siasatan dalaman untuk mengenal pasti sekiranya terdapat unsur sabotaj.







