PUTRAJAYA – Kadar pengangguran yang menurun pada April kepada 3.0 peratus memberikan gambaran kepada pelabur bahawa ekonomi Malaysia memiliki kemampanan, ketahanan sosial serta keyakinan masyarakat terhadap hala tuju negara.
Pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, pencapaian itu membuka ruang luas terhadap Malaysia dalam menonjolkan diri sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan kompetitif.
Menurutnya, keupayaan negara mengekalkan kadar pekerjaan tinggi mencerminkan Malaysia mempunyai tenaga kerja yang bersedia, berkemahiran dan berdaya saing, salau satu faktor penting yang dinilai oleh pelabur asing.
“Kestabilan pasaran buruh memberi kelebihan besar kepada Malaysia dalam menjalin kerjasama strategik melalui perjanjian perdagangan seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan dalam forum serantau ASEAN.
“Kejayaan ini tidak datang begitu sahaja. Usaha berterusan Kerajaan MADANI memperkasa TVET telah memainkan peranan besar dalam membentuk tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri semasa. TVET hari ini bukan lagi pilihan kedua.
“Ia telah menjadi jalan utama kepada ribuan anak muda Malaysia membina kerjaya yang kukuh dalam bidang teknikal, digital, logistik dan kejuruteraan. Kejayaan mereka bukan sahaja kurangkan kadar pengangguran, tetapi menyumbang kepada pembinaan ekonomi negara dengan lebih seimbang serta mampan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Mengulas lanjut, Nur Ashikin memaklumkan, kadar pengangguran rendah turut memberi impak besar terhadap kestabilan dalam negara sehingga memiliki kelebihan dalam mengurangkan jenayah, ketegangan sosial serta gejala ekstremisme.

Bagaimanapun, beliau berpandangan, terdapat keperluan program pemadanan pekerjaan, latihan kemahiran, dan pendidikan berasaskan industri diperluas secara holistik, termasuklah menerusi microcredential, pembelajaran fleksibel di samping pendedahan kepada teknologi baharu.
“Kejayaan ini menunjukkan bahawa apabila dasar awam digerakkan bersama oleh semua pihak, kerajaan, industri, masyarakat dan belia, maka hasilnya mampu melonjakkan negara ke tahap lebih tinggi, bukan sahaja kepada ekonomi, tetapi juga dalam membina nama baik Malaysia di mata dunia.
“Dalam suasana geopolitik tidak menentu dan persaingan serantau semakin sengit, kemampuan Malaysia untuk menyediakan pekerjaan, membangunkan modal insan dan menjamin keselamatan rakyat merupakan aset paling berharga. Ia adalah bukti bahawa Malaysia bukan sekadar mampu pulih, tetapi juga bersedia untuk memimpin,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan ladar pengangguran pada April 2025 turun kepada 3.0 peratus, paras terendah dalam tempoh 10 tahun dengan 525,900 penganggur.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan ekonomi negara yang meyakinkan menyumbang kepada kestabilan tenaga buruh pada bulan terbabit, dengan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja dan kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi, manakala pengangguran terus menurun.

Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kejayaan itu menunjukkan ekonomi Malaysia mempunyai daya tahan dan mampu berubah mengikut perkembangan ekonomi semasa.
Jelasnya, kadar pengangguran pada 2018 dan 2019 adalah pada kadar 3.3 peratus iaitu dibawah 500,000 orang dan perkembangan terbaharu ini juga memberikan petanda bahawa tenaga buruh negara sudah kembali ke aras sebelum pandemik melanda dunia.
“Pemulihan kadar pengangguran semasa kepada kadar hampir sama dengan sebelum pandemik menunjukkan kemampuan Malaysia untuk pulih dalam masa yang singkat.
“Sekiranya pelabur asing melihat pencapaian Malaysia, mereka pasti akan merasakan negara kita adalah sebuah negara yang menarik untuk mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.






