
KOTA KINABALU – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan melampau yang dilakukan oleh segelintir peserta demonstrasi Suara Mahasiswa dalam Perhimpunan Gempur Rasuah 2.0.
Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah, Mohd Zikri Zainudin berkata, tindakan seperti membakar dan mempamerkan poster berunsur provokasi bukan sahaja melanggar batas adab ketimuran, malah tidak mencerminkan keperibadian mahasiswa yang berilmu dan beradab.
“Sebagai mahasiswa yang berkaliber, berketerampilan, berilmu dan beradab.
“Mahasiswa tidak perlu menonjolkan ketidakpuashatian terhadap sesuatu perkara dengan terlalu emosi atau ekstrem dengan membakar atau membuat poster yang kurang beradab yang tidak menonjolkan keperibadian mahasiswa,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Tambahnya, Suara Mahasiswa sepatutnya mencontohi pendekatan yang lebih beradab seperti yang ditunjukkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang mengadakan demonstrasi secara senyap (flash mob) di Gaya Street minggu lalu.
“Flash mob itu disifatkan lebih mendidik dan berimpak tinggi melalui poster-poster berbentuk advokasi serta pengedaran bahan maklumat berkaitan tatakelola yang baik.
“BERSIH membuktikan bahawa mesej yang kuat boleh disampaikan tanpa perlu membakar atau mempamerkan bahan yang tidak beretika,” ujarnya.
Menurut beliau, ketidakpuasan hati seharusnya disalurkan melalui cara yang membina seperti forum, dialog, sesi pertemuan dan medium penulisan atau media sosial.
“Mahasiswa harus berhikmah dan bersikap matang dalam menyampaikan pandangan.
“Gunakan saluran yang ada untuk mendidik masyarakat dan mencetuskan perubahan secara berkesan, bukan dengan konfrontasi yang hanya mencetuskan ketegangan,” katanya.
ABIM Sabah menyeru agar budaya berhujah secara ilmiah dan beradab terus dipupuk dalam kalangan mahasiswa demi membina masa depan negara yang lebih baik.







