POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memberi peringatan tegas kepada media tempatan agar lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat, susulan penyiaran laporan tidak benar yang mengaitkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, dengan sebuah parti politik.
Setiausaha PDRM, Datuk Kamaruzaman Abdullah, menegaskan bahawa Mohd Khalid tidak pernah menjadi ahli, apatah lagi memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik seperti yang didakwa dalam infografik yang tular baru-baru ini.
“Kenyataan itu tidak benar, mengelirukan serta mencetuskan persepsi salah yang boleh menjejaskan kredibiliti pasukan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, PDRM menzahirkan teguran keras terhadap kecuaian pihak media terbabit yang menerbitkan maklumat tanpa semakan dan pengesahan menyeluruh.
“PDRM turut menegur keras kecuaian pihak media berkenaan yang menerbitkan maklumat tanpa semakan teliti.
“Tindakan itu bukan sahaja mencalarkan reputasi individu, malah turut menjejaskan imej institusi keselamatan,” katanya.

Tambah Kamaruzaman, etika kewartawanan menuntut agar setiap laporan yang disiarkan ditulis dengan penuh tanggungjawab, berdasarkan fakta yang disemak dan disahkan.
Jelas beliau, PDRM sentiasa berpegang teguh pada prinsip neutraliti, integriti dan profesionalisme dalam setiap aspek pelaksanaan tugas.
“Justeru, pasukan ini tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi ini.
“PDRM kekal komited dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan negara dan memelihara ketenteraman awam,” katanya.
Pada Sabtu, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh menegaskan, Mohd Khalid tidak pernah menjadi ahli parti itu, apatah lagi memegang sebarang jawatan dalam parti tersebut.




