
LAHAD DATU – Konsep pengorbanan Sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini membawa mesej yang cukup signifikan kepada pasukan keselamatan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali berkata, ketika ramai beraya bersama keluarga, wira negara teguh di barisan hadapan melaksanakan amanah di perbatasan tanah air demi kesejahteraan.
“Kisah pengorabanan ini begitu signifikan dengan situasi sahabat kita di PDRM, ATM dan Maritim kerana mereka bukan sahaja berkorban masa tetapi juga emosi dan raga demi memastikan kita dapat meraikan Hari Raya dengan gembira serta menikmati keamanan tanpa gangguan.
“Pengorbanan ini bukan kecil. Ia melibatkan rindu yang tertangguh, tawa keluarga yang dirindui dan detik-detik Aidiladha yang disambut dalam sunyi, namun semua itu dilakukan dengan satu semangat demi tanah air tercinta,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Libat Urus dan Sambutan Hari Raya Aidiladha bersama rakan strategik ESSCOM di Dewan Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu, pada Isnin.

Menurut Jamaluddin, program libat urus dan sambutan Hari Raya Aidiladha sebelum ini juga pernah diadakan di Tanjung Kapur, Kudat; Kampung Inderasabah, Tawau dan Kampung Silam Lahad Datu selain turut dirancang dilaksanakan di kawasan lain Timur Sabah pada masa akan datang.
Pada program itu, empat ekor lembu korban merupakan sumbangan ESSCOM; Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen Benetty @ Mohd Dzul; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JHEAINS) Lahad Datu.
Daging korban berkenaan akan diagihkan kepada asnaf layak di sekitar daerah ini.
Dalam pada itu, Jamaluddin tegas menyatakan komitmen ESSCOM untuk terus menjadi perisai ESS Zone, bukan sahaja dari ancaman fizikal, tetapi dari sebarang bentuk ketidakstabilan yang menggugat kesejahteraan rakyat.
“Sokongan padu dari komuniti setempat membuktikan bahawa ESS Zone ini bukan sekadar zon kawalan keselamatan, tetapi sebagai zon perpaduan, kepercayaan dan kesejahteraan bersama.
“Menjadikan nilai pengorbanan sebagai pedoman, kami yakin bahawa kerjasama erat antara rakyat, agensi dan kerajaan akan menjadi tunjang kepada kejayaan berterusan,” ujarnya.







