
MANJUNG – Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menyita lebih 200 kerusi dan pelbagai peralatan lain yang digunakan dalam aktiviti penyewaan tanpa lesen sah di Pantai Teluk Senangin, dalam satu operasi penguatkuasaan bersama polis pada Rabu.
Operasi itu dilaksanakan susulan aduan awam yang tular di media sosial kononnya pengunjung dikenakan caj semasa berkunjung ke pantai awam berkenaan.
MPM dalam kenyataan memaklumkan, tindakan diambil mengikut Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), yang melarang sebarang halangan di kawasan awam.
Malah, MPM menegaskan dakwaan tersebut tidak benar dan bercanggah dengan dasar pihak berkuasa tempatan itu berkaitan pengurusan pantai awam.
“Pantai Teluk Senangin adalah pantai awam yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa sebarang caj.
“Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mendakwa mereka dibenarkan berbuat demikian, ia adalah satu tindakan yang tidak sah dan menyalahi undang-undang.
“MPM memandang serius terhadap perkara ini kerana ia melibatkan hak awam untuk mengekses kawasan rekreasi secara bebas tanpa kos tambahan yang tidak wajar,” jelas kenyataan itu pada Rabu.

MPM mengeluarkan enam sitaan terhadap premis dikesan melanggar peraturan di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Taman (MPM) 2005 serta Undang-Undang Kecil Penjaja MPM 2007.
Antara barangan yang disita dalam operasi itu termasuk 220 kerusi, 19 meja kayu, meja besi, payung, 25 pelampung dan tiga buah khemah.
“Walaupun aktiviti penyewaan dibenarkan di pantai ini, hanya pengusaha yang berlesen serta mematuhi syarat pelesenan yang ditetapkan dibenarkan beroperasi,” kata MPM.
Setakat ini, sebanyak 10 permit telah dikeluarkan kepada pengusaha sah, namun hanya tiga daripadanya dilaporkan masih aktif menjalankan perniagaan.
Manakala tujuh lagi pengusaha tidak menunjukkan sebarang aktiviti dan operasi.
Antara syarat lesen yang ditetapkan termasuk larangan meletakkan peralatan sebelum waktu sewaan dan kewajipan menyimpan semula peralatan selepas digunakan.
Pengusaha juga tidak dibenarkan mengutip bayaran untuk sewaan peralatan lain atau penggunaan tapak selain daripada yang dibenarkan.
“Semua peralatan yang disita telah dibawa ke Depoh Simpanan Sementara MPM untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu lagi.

MPM turut memberi jaminan bahawa operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keharmonian dan kebersihan kawasan pelancongan terus terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti tidak sah di kawasan pantai digalakkan menyalurkan aduan kepada MPM untuk tindakan susulan.
Sebarang aduan boleh disalurkan menerusi talian 056898833, WhatsApp 019-3035800 atau email aduan@mpm.gov.my dengan disertakan maklumat lengkap termasuk gambar atau video.
MPM turut mengingatkan bahawa satu notis pemakluman telah dikeluarkan kepada umum pada 15 Ogos 2024 yang menegaskan tiada sebarang caj dikenakan untuk berkelah di Pantai Teluk Senangin dan notis sama turut dipasang di beberapa lokasi sekitar kawasan itu.







