
KOTA KINABALU – Persatuan Kebajikan Generasi Masa Hadapan Sabah (GENMAPAN) tampil menyatakan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pesta Kaamatan semalam, perlu diteliti secara objektif dan adil, tanpa wasangka buruk.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Borneo’s Plight in Malaysia Foundation (BoPiMaFo), Daniel John Jambun adalah tidak adil dan memutar belit kenyataan PM.
Pengerusi GENMAPAN, Mohd Nur Hilmie Milus berkata, kritikan tersebut sewajarnya diteliti secara objektif dan adil.
“Kenyataan YAB Perdana Menteri yang menekankan pendekatan rundingan secara tenang tidak sekali-kali berniat meremehkan suara rakyat Sabah.
“Sebaliknya, ia mencerminkan kematangan kepimpinan dan semangat federalisme yang sejati yakni membina negara melalui dialog berperlembagaan dan bukan konfrontasi,” katanya ketika dihubungi oleh wartawan TMP, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia terus mengutamakan semangat Persekutuan melalui rundingan berterusan dalam kerangka MA63, asas penting pembentukan negara.
“Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri membuktikan keprihatinan terhadap tuntutan Sabah dan Sarawak.
“Rundingan bukan tanda tunduk, tetapi satu bentuk peradaban dan kematangan negara berpersekutuan.
“Nada tinggi tidak semestinya benar dan suara yang tenang tidak seharusnya disalah ertikan sebagai kelemahan,” tegasnya.
Tambahnya, PM tidak sekadar hanya berkata, tetapi bertindak dan menunjukkan komitmennya dalam menyelesaikan masalah rakyat.
“Kerajaan MADANI bukan hanya menyatakan komitmen, tetapi membuktikannya melalui tindakan nyata.
“Perdana Menteri mengumumkan penambahan peruntukan kepada JKR bagi menyelesaikan krisis air kronik di Universiti Malaysia Sabah (UMS), menunjukkan keprihatinan terhadap isu lama yang menjejaskan ribuan pelajar.
“Hal ini adalah bukti bahawa suara Sabah bukan sekadar didengar, tetapi diambil tindakan segera,” katanya.
Selain itu, PM turut mengkritik pendekatan populis yang membakar emosi rakyat tanpa hasil konkrit, sambil menegaskan bahawa “menjerit” bukan budaya rakyat Sabah, sebaliknya strategi politik tertentu.
“Perdana Menteri tidak menolak hak Sabah, tetapi menekankan bahawa tuntutan itu perlu dibuat secara berhemah dan berstrategi, bukannya melalui tekanan populis yang hanya membakar emosi tanpa menghasilkan keputusan.
“Apa yang beliau tegur sebagai “menjerit” bukan suara rakyat Sabah secara keseluruhan, tetapi budaya politik yang sengaja mencetuskan konfrontasi untuk kepentingan tertentu.
“Kejayaan Sarawak tidak dicapai melalui sorakan, tetapi melalui kestabilan politik, pelan ekonomi yang kukuh dan kemampuan rundingan yang strategik. Sabah juga mampu mencapai kejayaan serupa jika memilih jalan yang sama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Sabah tidak perlukan lagi pahlawan retorik yang hanya pandai membakar semangat tetapi gagal merangka penyelesaian.
“Kita perlukan suara yang membina, pemimpin yang memahami perundangan, tahu merancang, dan mampu membawa pulang hasil.
“Membina Sabah bukan soal siapa paling kuat menjerit, tetapi siapa paling berani menyingsing lengan dan bekerja. Kritikan kepada kerajaan bukan masalah, tetapi jika ia sekadar serangan tanpa data, tanpa pelan, ia hanya menambah kekeliruan rakyat.
“Maruah negeri tidak boleh dijadikan perisai politik demi populariti peribadi,” jelasnya.




