
PELBAGAI inisiatif untuk memperkasakan golongan belia telah dirangka Kerajaan MADANI bagi memastikan negara tidak tandus legasi penerus kegemilangan tanah air.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sempena menyambut Hari Belia Negara (HBN) hari ini, Kerajaan MADANI tidak lupa untuk ‘mempersiapkan’ golongan belia yang bakal menerajui negara pada masa depan.
“Selamat Menyambut HBN! Kekuatan dan keupayaan sesebuah negara itu semestinya terletak kepada generasi muda atau belianya.
“Justeru, menyedari hakikat ini, Kerajaan MADANI telah merangka pelbagai inisiatif pemerkasaan golongan belia untuk mempersiapkan mereka sebagai generasi penerus kegemilangan tanah air tercinta ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia memaklumkan, kerajaan sentiasa komited untuk memastikan golongan muda diberikan ruang membina negara.
“Kerajaan, melalui segmen Undang-Undang Reformasi Institusi juga komited untuk memastikan setiap anak muda diberikan ruang, keadilan dan peluang saksama untuk membina Malaysia yang lebih telus, adil serta berintegriti.
“Sekali lagi buat semua anak muda Malaysia, saya ucapkan Selamat HBN 2025. Yakin boleh! Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara,” katanya.









