Nurul Izzah diiktiraf akar umbi kerana wibawa, bukan warisan

PUTRAJAYA –  Tanggapan yang mengaitkan pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden PKR memiliki unsur ‘nepotisme’ adalah tidak adil dan kurang tepat sama sekali.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil menyifatkan Nurul Izzah diiktiraf berdasarkan merit, pengalaman dan kebolehan kepada parti sejak beliau bertapak dari peringkat akar umbi PKR lagi.

Jelasnya, walaupun Nurul Izzah mendapat kelebihan kerana statusnya sebagai anak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berjaya mengukir laluan tersendiri dalam mendekati suara rakyat.

“Nurul Izzah hadir ketika PKR mula dibentuk, dia bukan payung terjun. Nepotisme yang tidak boleh diterima itu adalah bersifat sedemikian seperti anak Jokowi yang tiba-tiba dilantik sebagai Naib Presiden (Indonesia). Perkara seperti itu yang orang akan perkatakan tetapi mereka yang memahami sejarah PKR dan keterlibatan Nurul Izzah dalam politik, beliau bukan payung terjun.

“Beliau bermula dari parti itu tidak memiliki apa apa, kemudian dalam politik, telah melalui proses menang kalah dalam pilihan raya. Dari segi perjuangan politik beliau, kita tidak dapatkan nafikan bahawa penglibatan politik Nurul Izzah adalah seiring dengan kewujudan PKR,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.

Mengulas lanjut, komitmen berterusan Nurul Izzah Anwar terhadap prinsip demokrasi, keadilan sosial dan reformasi institusi membuktikan beliau mempunyai ciri pemimpin masa depan negara.

Katanya, ketabahan pemimpin terbabit mengharungi landskap politik negara yang penuh tekanan, mencerminkan keteguhan watak serta ketajaman strateginya di samping memahami keperluan rakyat dalam sebuah masyarakat moden dan demokratik.

“Nurul Izzah bertanding bukanlah perkara aneh, dari segi senioriti politik, Nurul Izzah jauh lebih senior daripada Rafizi sebab beliau sudah ada dalam PKR sejak parti dibentuk dan kalau menang, ia tidak pelik sebab namanya sudah sinonim bersama parti itu berbanding Rafizi.

“Justeru, orang melihat selepas Anwar itu adalah Nurul Izzah yang ada (dalam memimpin) di PKR. Anak muda sudah tentu berminat menyertai parti politik dengan aura dimiliki beliau selain perkara yang unik jika beliau ditakdirkan menjadi Presiden PKR selepas Anwar (bersara). Satu-satunya parti politik yang meletakkan wanita sebagai timbalan presiden kalau beliau menang bertanding dengan Rafizi nanti,” katanya

Dalam pada itu, persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR antara Nurul Izzah dan Datuk Seri Rafizi Ramli tidak wajar dilihat sebagai tanda perpecahan, sebaliknya mencerminkan kematangan demokrasi dalam parti di bawah pimpinan Anwar.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Program Sains Politik, UKM memaklumkan pertandingan itu membuktikan PKR bukan sahaja subur dengan bakat kepimpinan malah membuka ruang yang luas kepada demokrasi sihat dan progresif.

“PKR tidak seperti UMNO dan Pas yang mana mengangkat anak beranak ataupun nepotisme dalam parti itu kuat tapi dalam PKR, dia bebas. Siapa nak bertanding dipersilakan, tiada halangan mahupun ugutan daripada mana-mana pimpinan tertinggi.

“Kalau parti politik yang lain isu seperti ini timbul, kemungkinan mereka (calon) akan takut meneruskan pertandingan namun PKR tiada masalah. Ini boleh dilihat apabila pertandingan ketua cabang menyaksikan 60 pemimpin besar dan utama dalam PKR tewas.

“Kalau ia terjadi kepada parti seperti UMNO dan Pas, ia adalah sesuatu yang pelik bagaimanapun, bagi PKR perkara itu adalah lumrah. Itulah kematangan sebuah parti yang memperjuangkan reformasi,” katanya

Proses pencalonan pemilihan PKR menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar bagi jawatan Presiden manakala jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah dan Rafizi.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, sejumlah 12 ahli mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandangnya iaitu Datuk Seri Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor), Nik Nazmi Nik Mat (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan)

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim pula adalah calon tunggal bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) manakala jawatan Ketua Wanita PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan) dan Rodziah Ismail (Ahli Parlimen Ampang).

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru dengan 23 Mei ditetapkan sebagai hari pengundian.

Related Posts

10 aktivis Malaysia sedia teruskan misi GSF 2.0 ke Gaza kali kedua

SEPANG – Sepuluh rakyat Malaysia yang terbabit dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dijangka memulakan semula pelayaran ke Gaza pada bila-bila masa selepas kekal berada di Istanbul, Turkiye. Ketua…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PMX sumbang RM100,000 bantu ASWO sertai World Music Contest 2026 di Belanda

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada pasukan Alam Shah Wind Orchestra (ASWO) sebagai sokongan bagi persediaan mereka menyertai World Music Contest 2026 di Kerkrade, Belanda…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

10 aktivis Malaysia sedia teruskan misi GSF 2.0 ke Gaza kali kedua

10 aktivis Malaysia sedia teruskan misi GSF 2.0 ke Gaza kali kedua

PMX sumbang RM100,000 bantu ASWO sertai World Music Contest 2026 di Belanda

PMX sumbang RM100,000 bantu ASWO sertai World Music Contest 2026 di Belanda

Kementerian Ekonomi selaras segera kerja naik taraf Pulau Tioman

Kementerian Ekonomi selaras segera kerja naik taraf Pulau Tioman

Pembenihan awan dipercepat di Kedah, Perlis tangani cuaca kritikal

Pembenihan awan dipercepat di Kedah, Perlis tangani cuaca kritikal

Sentuhan Bibiq jadi legasi, 3 sepupu kekalkan citarasa masakan payau

Sentuhan Bibiq jadi legasi, 3 sepupu kekalkan citarasa masakan payau

Projek Sistem Air Akut Rantau Panjang capai tahap 33 peratus siap

Projek Sistem Air Akut Rantau Panjang capai tahap 33 peratus siap