
KOTA KINABALU – Sembilan daripada 10 ibu mengakui bahawa menjadi ibu zaman ini jauh lebih mencabar.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri, ia berdasarkan laporan tinjauan sempena Hari Ibu tahun lalu jelas menunjukkan ramai ibu muda bawah 34 tahun, yang mewakili satu pertiga wanita Malaysia, masih menghadapi cabaran tersembunyi di sebalik kemajuan negara.
“Antara cabarannya termasuk kos sara hidup yang tinggi, tekanan kerja dan keluarga, kekangan kewangan, kekurangan masa untuk diri sendiri dan beban tanggung jawab pendidikan anak-anak.
“Saya percaya ramai ibu yang hadir di sini juga melalui rutin yang sangat mencabar bangun seawal pagi, bekerja tanpa henti dan tidur lewat malam semata-mata untuk memastikan keperluan keluarga sentiasa dipenuhi.
“Tambahan pula, kita sedang berhadapan dengan cabaran baharu dalam era digital ini,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Hari Ibu Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Kerajaan MADANI sentiasa berusaha dan terus komited dalam memperkasa wanita melalui pelbagai dasar dan inisiatif bersasar.
Terbaharu, Dasar Wanita Negara 2025–2030 yang diperkenalkan membawa tema ‘Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara’ dengan memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita di semua peringkat masyarakat.
“Antara program utama yang sedang giat dilaksanakan termasuk Program Kasih Ibu Tunggal (PROKIT); Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (IKIT); MamaCare dan Program Wanita Bangkit dan 2 Years Exit Programme, Gig@bit dan Volvo Iron Women.
“Kesemua program ini memberi ruang kepada wanita, khususnya ibu tunggal dan yang tidak bekerja untuk mendapatkan latihan dan peluang pekerjaan yang sesuai,” ujarnya.





