
KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menandakan isyarat penolakan rakyat terhadap propaganda lapuk yang sering dimainkan oleh pembangkang terutamanya berkaitan isu 3R (kaum, agama dan raja).
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop berkata, pengundi di DUN Ayer Kuning telah memilih pemimpin yang diyakini boleh menjaga keharmonian antara kaum bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.
“Pilihan yang dibuat oleh pengundi Ayer Kuning secara tidak langsung memberi isyarat bahawa mereka menolak pemimpin atau pihak yang suka menimbulkan pelbagai isu perkauman dan agama.
“Rakyat tidak mahu timbul kekacauan awam di kemudian hari apabila mereka memilih pemimpin yang salah. Mereka memilih kestabilan politik, keharmonian kerana akhirnya ia yang akan membawa kebaikan dalam kehidupan harian kita.
“Dalam konteks ini, perpaduan bukan sahaja menjadi matlamat, tetapi juga merupakan asas kepada kemajuan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Pada PRK DUN Ayer Kuning, Calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, menang dengan majoriti 5,006 undi selepas memperoleh 11,065 undi keseluruhan.
Beliau menewaskan calon PN, Abdul Muhaimin Malek yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS yang mendapat 1,106 undi.
Mengulas lanjut, Ismail turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pengundi di kawasan itu kerana membuat pilihan yang tepat sekali gus memacu ke arah pembangunan negara bangsa di bawah pimpinan Kerajaan MADANI.
“Semoga hasrat Kerajaan MADANI untuk membina negara merdeka, berdaulat, bermaruah, dan bertamadun menjadi kenyataan dengan kesepaduan rakyat Malaysia. Warga Ayer Kuning telah menghantar signal yang jelas ke seluruh negara.
“Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menyokong dan memperkukuhkan perpaduan, kerana hanya dengan kekuatan perpaduan kita dapat menghadapi cabaran yang mendatang sama ada dalaman atau luaran demi mencapai kejayaan yang lebih besar,” katanya.







