
SANDAKAN – Seramai 623 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya dipindahkan ke negara asal dalam satu operasi bersepadu yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, pada Khamis.
Pemindahan ini melibatkan tahanan dari Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan terdiri daripada 483 lelaki dewasa, 80 wanita dewasa, 35 kanak-kanak lelaki dan 25 kanak-kanak perempuan berusia antara 11 bulan hingga 79 tahun.
Menurut Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, operasi pemindahan ini dilaksanakan hasil kerjasama erat dengan Kedutaan Republik Filipina khususnya dalam pengeluaran dokumen perjalanan kepada para PATI terbabit.
“Sehingga kini seramai 3,993 warganegara Filipina telah dipindahkan melalui pintu masuk negeri Sabah menjadikan jumlah keseluruhan tahanan yang dipindahkan mencecah 4,834 orang.
“PATI yang terlibat dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Selain itu, kesemua PATI telah selesai menjalani hukuman penjara dan hanya dipindahkan selepas semua dokumen perjalanan lengkap.
Tambah Sitti Saleha, kesemua PATI akan disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia semula berdasarkan jenis kesalahan yang dilakukan.
Imigresen Sabah turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang menyalahgunakan kemudahan pas atau permit.
“Tindakan tegas termasuk pendakwaan akan diambil terhadap majikan dan pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah serta mereka yang melanggar syarat pas.
“Imigresen Sabah mengingatkan majikan dan masyarakat agar hanya menggaji pekerja asing melalui saluran sah dan mematuhi undang-undang,” tegas beliau.
Beliau turut memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus diperhebat dari semasa ke semasa dalam usaha berterusan untuk membanteras kehadiran PATI di negara ini.







