
KOTA KINABALU – Pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Sabah mencatat peningkatan memberangsangkan apabila Gred Purata Negeri (GPN) berjaya diperkecilkan kepada 5.00 mata berbanding 5.09 mata pada tahun sebelumnya prestasi terbaik negeri itu sejak 2021.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, seramai 580 calon memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diduduki, meningkat berbanding 484 calon pada tahun lalu.
“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.24 peratus dan mencerminkan keberkesanan usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Dalam aspek kehadiran, seramai 34,329 daripada 35,234 calon sekolah KPM hadir menduduki peperiksaan, iaitu kadar kehadiran 97.43 peratus, lebih baik berbanding tahun sebelumnya,” katanya semasa berucap sempena Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan itu di Wisma Pendidikan, di sini pada Khamis.
Raisin berkata, jurang prestasi antara calon di bandar dan luar bandar masih ketara iaitu 0.56 mata, meskipun kedua-duanya mencatat peningkatan.
Jelasnya, calon bandar mencatat GPN 4.65 manakala calon luar bandar pula mencatat 5.21.
“Sebanyak 94.68 peratus atau 32,501 calon layak menerima sijil SPM tahun ini, meningkat 1.24 peratus berbanding 2023.
“Seramai 201 calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) turut menduduki peperiksaan ini, dengan 65.17 peratus layak menerima sijil.
“Bagi prestasi mata pelajaran, 38 daripada 73 mata pelajaran menunjukkan peningkatan. Mata pelajaran Kimia mencatat lonjakan tertinggi dalam kumpulan STEM Sains Tulen, manakala Asas Kelestarian pula melonjak dalam kumpulan STEM Teknologi Gunaan,” ujar beliau.
Bagaimanapun, katanya, Sejarah dan Pendidikan Moral menunjukkan penurunan prestasi sebanyak 0.04 mata Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu 5.16 mata bagi Sejarah dan 4.00 mata bagi Pendidikan Moral berbanding tahun 2023.






