
PEMUDA Amanah Perak menyelar tindakan pihak pembangkang, Perikatan Nasional (PN) dalam menunggang isu ladang babi ketika kampen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sedang rancak berjalan.
Ketuanya, Khairol Najib Hashim berkata, isu ladang babi yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri dalam sidang DUN semalam, adalah tidak bertanggungjawab.
Malah, Dakwanya, selain tindakan menjadikan isu ladang babi sebagai isu perkauman, ia juga adalah cubaan dalam mengaburi mata rakyat daripada kegagalan mereka sendiri semasa memegang tampuk kuasa.
“Pas lupa semasa menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Perak dari tahun 2020 hingga 2022, ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria pernah memegang portfolio Exco Pertanian, Perladangan, Industri Makanan dan Sekuriti Makanan.
“Namun, sepanjang tempoh itu, tiada sebarang tindakan konkrit atau pelan penyelesaian yang dibentangkan beliau dan Pas dalam menangani isu ladang babi di DUN Ayer Kuning.
“Tiada pelan pemindahan, tiada perancangan penyusunan semula, malah isu ini langsung tidak dijadikan keutamaan.
“Boleh dikatakan, sepanjang tempoh tersebut, seekor babi pun tidak ‘diusik’,”katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dakwa Khairol Najib, setelah tidak lagi memegang kuasa, PN cuba menunding jari kepada Kerajaan MADANI dengan memainkan sentimen perkauman khususnya ketika berlangsungnya kampen PRK Ayer Kuning.
“Jangan memperalatkan isu kaum atau agama demi kepentingan politik sempit.
“Isu-isu seperti ini sepatutnya ditangani dengan fakta dan perancangan, bukan retorik dan pembohongan.
“Rakyat Perak berhak mendapat maklumat yang tepat dan pemimpin yang berintegriti.
“Tolak politik kebencian dan membina negeri Perak yang harmoni dan sejahtera,”katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Jawatankuasa Operasi PN PRK DUN Ayer Kuning, Datuk Idris Ahmad, menafikan pihaknya tidak pernah bertindak berkaitan isu ladang babi ketika berkuasa.
Dakwanya, ketika itu banyak ladang-ladang haram dihapuskan sambil memetik laporan berita Bernama.
Bahkan, apabila ditanya berkaitan isu ladang babi ini akan hilang sokongan terutama daripada kaum Cina, beliau berkata, ini isu sejagat dan universal.
“Ini isu rakyat dan bukan isu politik.
“Jika Kerajaan Negeri Pahang boleh bertindak tegas terhadap kebun durian Musang King haram, apakah Kerajaan Negeri Perak tidak mempunyai keberanian untuk bertindak terhadap ladang babi haram,”ujar Idris.
Beliau ditemui ketika Sidang Media Harian PN di SITI Bidor, Tapah, pada Khamis.
Dalam sidang tersebut, Naib Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai itu turut mendesak Kerajaan Negeri Perak supaya memindahkan semua ladang babi berkesen tersebut beroperasi ke lokasi lebih sesuai.
PN mendakwa banyak ladang babi sama ada diluluskan oleh Kerajaan Negeri atau dibina secara haram, dibina di kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Melayu Islam.
“Di Daerah Batang Padang dan Muallim sahaja, terdapat 30 ladang babi yang diluluskan dan jika di amour dengan ladang haram, jumlah mungkin jauh lebih tinggi.
“Di DUN Ayer Kuning, Kampung Melayu yang dibina ladang babi terletak di Kampung Tanjung Keramat yang mempunyai 98.9 peratus penduduk beragama Islam.
“Penduduk kawasan ini terpaksa berhadapan dengan pencemaran bau busuk setiap hari selain risiko penyakit berjangkitan dan ancaman kesihatan,”jelasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta Kerajaan Negeri Perak untuk menjelaskan rasional meluluskan ladang-ladang tersebut di kawasan majoriti Melayu Islam.







