TINDAKAN penggantungan melibatkan Bersatu dilihat tidak memberi kesan besar terhadap kedudukan Pas di Terengganu, namun berpotensi memberi implikasi lebih besar kepada landskap Perikatan Nasional (PN) di peringkat nasional.
Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Sahul Hamid Mohamed Maiddin berkata, kekuatan Pas di Terengganu masih kekal stabil kerana parti itu mendominasi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding Bersatu yang hanya memiliki pengaruh minimum.
Menurut beliau, kerajaan negeri tidak akan berdepan sebarang ancaman politik yang signifikan susulan perkembangan tersebut kerana asas sokongan Pas di negeri itu masih kukuh.
“Pas tidak terjejas secara langsung kerana struktur kerajaan negeri masih dikuasai oleh mereka. Bersatu hanya mempunyai kerusi yang minima dan tidak memberi impak besar terhadap kestabilan pentadbiran negeri,” katanya ketika ditemu bual The Malaysia Press.
Bagaimanapun jelas beliau, situasi itu boleh memberi tekanan kepada PN secara keseluruhan kerana Bersatu memainkan peranan penting dalam membawa imej gabungan yang lebih bersifat nasional dan merentas kaum.

“Pas sememangnya mempunyai kekuatan untuk bergerak secara solo, namun pengaruh itu lebih berkesan di kawasan majoriti Melayu atau Malay belts sahaja.
“Di kawasan luar daripada kelompok itu, Pas masih memerlukan Bersatu untuk menampilkan imej politik yang lebih nasional dan sederhana bagi menarik sokongan pengundi pelbagai kaum,” katanya.
Sahul turut berpandangan bahawa perkembangan tersebut boleh mempengaruhi hubungan parti-parti lain dalam PN termasuk Gerakan, yang mungkin menilai semula kedudukan serta hala tuju gabungan itu pada masa akan datang.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid akan dilihat lebih cenderung mendekati Pas selepas ini, khususnya kerana hubungan beliau yang dilihat lebih mesra dengan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Dari sudut persepsi politik, Rosol Wahid berkemungkinan lebih dekat dengan Pas selepas ini, terutama kerana beliau dilihat mempunyai hubungan yang baik dengan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, dinamika baharu dalam PN itu dijangka menjadi antara faktor penting yang akan menentukan kekuatan pembangkang menjelang pilihan raya akan datang, khususnya dalam usaha mengekalkan sokongan di kawasan bukan majoriti Melayu.





