
ORANG Melayu khususnya pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning telah mula sedar dan tidak mudah lagi terpedaya dengan ‘jembalang’ ciptaan pembangkang.
Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad yakin tohmahan pembangkang yang menggelar UMDAP susulan kerjasama UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum lalu, dilihat semakin lama kian terhakis.
Ini kerana, jelasnya, orang Melayu terutamanya ahli UMNO kian sedar bahawa ianya hanyalah ‘jembalang’ ciptaan pembangkang untuk menakut-nakutkan mereka kononnya kedudukan orang Melayu dan Islam dalam negara ini akan terancam.
“UMDAP itulah jembalang yang dicipta pembangkang yang menjadi polong untuk menakutkan orang Melayu.
“Bila UMNO menjalinkan kerjasama dengan DAP dan PH mereka gelar kita itu, tetapi ketika mereka dulu boleh pula, PASDAP atau BersDAP tu macam mana pula?
“Inilah jembalang, dan orang Melayu khasnya orang UMNO tidak perlu takut dengan jembalang ini, sebab pemimpin kita tahu baik buruk setiap langkah dan keputusan yang diambil adalah meletakkan kepentingan parti untuk terus membela nasib orang Melayu dan memartabatkan Islam,” katanya ketika ditemui berkempen di Ayer Kuning, hari ini.
Mengulas lanjut, Azhar yang juga Ahli Dewan Negara berkata, kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mementingkan kestabilan politik telah mula menampakkan hasil dan meraih kepercayaan rakyat.
“UMNO bukan sembrono menjalinkan hubungan dengan DAP, kita letak beberapa syarat menjaga perihal kepentingan orang Melayu dan syiar Islam, DAP pun akur dan terimanya, di sini lah terletaknya ‘wisdom’ Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Natijahnya, politik negara kita stabil, parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan saling hormat menghormati, tahu pantang larang dan batasan yang disyaratkan.
“Jadi kerajaan mudah merancang memajukan negara, dunia luar mula yakin dengan Malaysia untuk melabur, peluang pekerjaan banyak terhidang, ekonomi rakyat rancak dan ini memakmurkan kehidupan kita.
“Buktinya, beberapa siri PRK sebelum ini calon Kerajaan Perpaduan menang, di Pelangai, Nenggiri, Mahkota kita menang yang membuktikan orang Melayu masih memenangkan dan menyokong calon Kerajaan Perpaduan sekali gus tidak takut dengan jembalang pembangkang,” katanya.
Pada masa sama, Azhar menasihati pengundi terutamanya golongan muda di Ayer Kuning agar berhati-hati dengan persepsi yang dicetuskan pembangkang di media sosial.
“Kelihatan sekarang pembangkang sudah ketandusan modal politik, tiada isu untuk memburukkan kerajaan, tapi mereka masih gigih mencipta pelbagai persepsi negatif yang tidak berasas.
“Jadi, kenalah bijak, kena tabayyun dulu setiap apa cerita yang datang daripada pembangkang kerana kebanyakannya merupakan fitnah.
“Kena selidiki dulu, oooo ini sebenarnya persepsi ciptaan mereka, ooo ini retorik politik, yang ni sengaja dicipta fitnah, yang itu hanya cerita jembalang untuk takutkan pengundi…… kena berhati-hati menilai, jadi bijak dan jangan ikut emos,” katanya.






