
KOTA KINABALU – Daerah Nabawan bakal memiliki hospital sendiri apabila pembinaannya dimasukkan dalam Pelan Induk Perancangan Fasiliti Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2023–2045, di bawah Rancangan Malaysia Ke-17 (RMK17).
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, buat masa ini keperluan rawatan kesihatan di daerah tersebut disediakan menerusi Klinik Kesihatan Nabawan, yang berstatus Klinik Jenis 4 dan menjadi pusat rujukan utama bagi klinik-klinik di sekitarnya.
“Skop perkhidmatan Klinik Kesihatan Nabawan juga telah diperluaskan dengan penambahan Unit Hemodialisis, selain perkhidmatan sedia ada seperti Perkhidmatan Pesakit Luar (OPD), Kesihatan Ibu dan Anak (MCH), Kecemasan, Radiologi (X-ray), Makmal Kesihatan Primer, Farmasi, Pemakanan dan Jurupulih Perubatan,” katanya.
James berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin mengenai cadangan menaik taraf Klinik Kesihatan Nabawan kepada hospital semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini pada Selasa.
Jelas beliau, bagi memastikan perkhidmatan kecemasan di daerah itu berjalan lancar, sistem kerja syif telah diperkenalkan di Unit Kecemasan dan Ruang Pemantauan Pesakit sejak tahun 2017, membolehkan perkhidmatan disediakan 24 jam sehari.
“Sementara menunggu hospital baharu dibina, pesakit yang memerlukan rawatan pakar akan dirujuk ke Hospital Keningau,” ujar beliau.






