
TAWAU – Polis berjaya memberkas seorang lelaki selepas didapati memiliki tujuh kilogram (kg) serbuk daun ketum dan 30 botol air ketum dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Pukat, Tanjung Batu Laut, di sini, pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, suspek warga tempatan berumur 30-an itu ditahan sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tawau kira-kira pukul 11.20 pagi.
“Semasa serbuan, suspek dikesan mencurigakan dan bertindak agresif bagaimanapun berjaya dikawal oleh anggota serbuan.
“Pemeriksaan lanjut di rumah menemukan satu guni berisi tujuh peket plastik lutsinar mengandungi serbuk kering disyaki daun ketum seberat 7,163.62 gram yang disimpan di dalam sebuah bilik.
“Turut ditemui sebuah tong oren yang mengandungi 30 botol air ketum berkapasiti 1.5 liter setiap satu di bahagian dapur rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Menurut Champin, kesemua barangan rampasan bagi tujuan pasaran tempatan yang dianggarkan bernilai RM3,000 itu akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Katanya, saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah selain tiada rekod jenayah lampau.







