Sabah sasar jadi hab tenaga boleh diperbaharui, tarik pelaburan global

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah mahu menjadi hab tenaga hijau serantau seterusnya mengalu-alukan pelabur global dan perintis industri tenaga boleh diperbaharui ke negeri ini.

Penasihat Teknikal (Tenaga) kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. James Lim berkata, inisiatif itu bertujuan membangunkan projek tenaga bersih iaitu tenaga solar, hidroelektrik, angin dan geotermal yang memastikan bekalan tenaga mampan.

“Ini dijangka membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi seterusnya merancakkan pertumbuhan industri hijau di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menyampaikan perkara itu semasa menerima kunjungan hormat delegasi B.Grimm Power dari Thailand yang diketuai oleh Ketua Pembangunan Perniagaan Antarabangsa, Khawar Khan di sini pada Rabu.

Menurut James, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sebelum ini menjelaskan beliau amat komited terhadap agenda tenaga hijau ini.

Beliau berkata, Sabah bukan sekadar melabur dalam tenaga boleh diperbaharui, tetapi juga sedang membina masa depan iaitu tenaga bersih menjadi pemacu utama transformasi ekonomi.

“Kami mengalu-alukan rakan strategik global untuk bersama-sama mencipta peluang pekerjaan bagi rakyat Sabah, mengurangkan pelepasan karbon serta menjadikan Sabah destinasi utama industri hijau,” katanya.

Jelas beliau, Sabah memiliki kelebihan strategik sebagai destinasi utama pelaburan tenaga boleh diperbaharui di rantau ini dengan lebih 2,500 jam cahaya matahari tahunan, sistem sungai yang kukuh untuk kuasa hidro serta potensi besar tenaga angin dan geotermal.

Sehubungan itu, Dr James menyatakan kerajaan negeri berhasrat membangunkan taman industri hijau bagi menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing.

Mengulas lanjut mengenai minat pelaburan B.Grimm di Sabah, Dr. James berkata kerajaan negeri sedia membantu dan memudahkan rundingan antara syarikat tersebut dengan pihak berkuasa serta agensi berkaitan.

“Kami mengalu-alukan komitmen B.Grimm Power, sebuah syarikat berpengalaman luas dalam tenaga lestari di ASEAN.

“Pelaburan mereka bukan sahaja akan mempercepatkan transformasi tenaga di Sabah ke arah lebih cekap dan mesra alam, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi hijau yang mampan serta keselamatan tenaga Sabah,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa inisiatif ini akan membuka lebih banyak peluang pelaburan berkualiti tinggi dan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam bidang teknikal, kejuruteraan dan pengurusan untuk generasi muda di Sabah.

“Bekalan serta keselamatan tenaga yang stabil dan kos efektif juga dijangka menarik syarikat multinasional untuk menjadikan Sabah sebagai hab perindustriam dan perkhidmatan utama di Borneo, ” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, B.Grimm Power adalah syarikat konglomerat berusia 147 tahun yang berpangkalam di Thailand, terkenal dengan prinsip ‘Doing Business With Compassion’ dan kepakarannya dalam pembangunan tenaga bersih di pelbagai negara termasuk Vietnam, Laos, Kemboja, Korea, Jepun dan Amerika Syarikat.

“Mereka juga merupakan syarikat pertama di ASEAN yang membangunkan loji janakuasa yang bersedia untuk teknologi hidrogen.

“Pelaburan mereka di Sabah dijangka melibatkan penjanaan kuasa berskala besar, sistem penyimpanan tenaga serta penyelidikan dalam teknologi hijau terkini,” kata beliau.

Katanya, kerajaan negeri yakin bahawa kerjasama ini akan membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat dan ekonomi negeri, sekali gus menjadikan Sabah sebagai peneraju dalam sektor tenaga di rantau ini.

Related Posts

Lelaki 40 tahun ditahan positif dadah di Kabong

SARATOK – Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun ditahan selepas didapati positif dadah dalam Op Tapis di Ladang Sawit PORIM, Kabong di sini, pada Khamis. Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Golongan wanita digalakkan main peranan besar bentuk masa depan sukan negara

KOTA SAMARAHAN – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol menegaskan golongan wanita perlu diberi peluang memegang jawatan pembuat keputusan bagi memperkasa sektor sukan negara. Beliau yang juga Ahli Parlimen…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lelaki 40 tahun ditahan positif dadah di Kabong

Lelaki 40 tahun ditahan positif dadah di Kabong

Golongan wanita digalakkan main peranan besar bentuk masa depan sukan negara

Golongan wanita digalakkan main peranan besar bentuk masa depan sukan negara

WBS perkasa wanita melalui bengkel kemahiran, fokus jana pendapatan dan pembangunan komuniti

WBS perkasa wanita melalui bengkel kemahiran, fokus jana pendapatan dan pembangunan komuniti

Portugal mara ke pusingan 16, kalahkan Croatia 2-1

Portugal mara ke pusingan 16, kalahkan Croatia 2-1

Onn Abu Bakar diharap jadi pemangkin kemajuan pertanian DUN Senggarang

Onn Abu Bakar diharap jadi pemangkin kemajuan pertanian DUN Senggarang

Onn Abu Bakar mampu jadi ‘jambatan’ antara Senggarang dan Parlimen

Onn Abu Bakar mampu jadi ‘jambatan’ antara Senggarang dan Parlimen