PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan penahanan terbaharu membabitkan seorang pengurup wang bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, suspek ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan, namun dilepaskan selepas mengadu sakit jantung.
“Kami segera merujuknya kepada doktor yang mengesahkan bahawa dia mengalami masalah jantung tersumbat,” katanya kepada New Straits Times.
Katanya, suspek dilepaskan berikutan masalah kesihatan bagi membolehkannya mendapat rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Azam turut memberitahu proses rakaman keterangan bekas Perdana Menteri itu mungkin memerlukan beberapa sesi lagi.
“Saya tidak dapat meramalkan bila proses ini akan selesai, tetapi saya boleh katakan ia akan mengambil beberapa sesi lagi.
“Proses rakaman keterangan masih berjalan dan terdapat ramai lagi individu yang akan diambil keterangan,” katanya.
Terdahulu, pagi tadi Ismail Sabri memberi keterangan sesi kelima lebih enam jam kepada SPRM.
Beliau dijangka hadir semula untuk menyambung rakaman keterangan esok, jam 10 pagi.




