
BETONG – Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLPort) Bebuling kini dijangka memulakan operasi pada November 2025, membuka peluang besar untuk memacu sektor pelancongan dan ekonomi di kawasan ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, menyatakan projek bernilai RM248 juta itu kini dalam fasa akhir pembinaan, mencapai 73.77 peratus siap.
“Kami optimis STOLPort Bebuling akan siap sepenuhnya menjelang November 2025. Fokus kami kini adalah memastikan semua keperluan operasi dipenuhi agar lapangan terbang ini dapat digunakan seperti yang dirancang,” kata beliau ketika ditemui selepas lawatan ke tiga projek utama di Betong, pada Jumaat.
Tiga projek yang dilawati termasuk STOLPort Bebuling, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Betong, serta Jambatan Sungai Paku, semuanya dilaporkan berjalan mengikut jadual.
Douglas menjelaskan STOLPort Bebuling dirancang dengan dua matlamat utama; memudahkan kemasukan pelancong dan mengukuhkan sektor eksport produk tempatan.
“Lapangan terbang ini akan menyokong pengembangan sektor pelancongan dengan akses mudah ke destinasi menarik seperti Bukit Sadok dan Batang Ai, yang hanya sejam perjalanan dari sini. Kami juga ingin menjadikan kawasan ini sebagai hab eksport produk-produk agro tempatan,” jelas beliau.
Beliau turut menekankan bahawa projek ini melibatkan pembangunan Taman Agro yang bakal menjadi pusat utama pengeluaran dan eksport hasil tani.
“Pembangunan ini bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi berlandaskan matlamat yang jelas untuk manfaat jangka panjang penduduk tempatan dan ekonomi kawasan ini,” tambah beliau.
STOLPort Bebuling bakal menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan tempatan, AirBorneo, yang akan memainkan peranan penting dalam operasi penerbangan di kawasan ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap ADUN Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu; Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu; Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Ir Dr Cassidy Morris.





