
LENGGONG – Jenazah adik lelaki kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Allahyarham Shabaruddin Mohamad, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raban, di sini, pada pagi Jumaat.
Allahyarham Shabaruddin yang juga Ketua Kampung, Kampung Raban, menghembuskan nafas terakhir, di Hospital Kuala Kangsar, pada petang Khamis.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke kediamannya di Kampung Raban sebelum di bawa ke Masjid Al Hamidiah untuk solat jenazah.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di Facebook milik Saarani, menunjukkan beliau mengiringi perjalanan terakhir adindanya di dunia fana ini.

“Terima kasih sahabat-sahabat yang hadir memberi penghormatan.
“Terima kasih juga buat semua yang tidak putus mendoakan. Hanya Allah yang mampu membalas budi baik kalian.
“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham adinda saya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman,” katanya.

Mac tahun lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu turut kehilangan adik lelakinya Allahyarham Ahmad Rozimi Mohamad.
Semalam juga (13 Mac) merupakan hari ulangtahun kelahiran beliau dan pada hari sama juga, adik lelaki beliau pergi menyahut panggilan Ilahi buat selamanya.




