
KUCHING – Kerajaan MADANI akan terus komited melaksanakan enam perkara yang berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, enam perkara tersebut ialah Status Tindakan Bagi Perkara-Perkara Di Bawah Kementerian Kewangan; Laporan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Berkenaan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak, Cadangan Pindaan Item 25A (Pelancongan) Dalam Senarai I (Persekutuan) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan (PP) Kepada Senarai III (Bersama) Jadual Kesembilan PP, Pembangunan Kawasan Sempadan Sabah-Sarawak-Kalimantan, Laporan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah dan Sarawak dan Laporan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan Sabah dan Sarawak.
“Mesyuarat ini amat penting untuk kerajaan untuk merangka langkah susulan yang pragmatik bagi menyelesaikan perkara berkaitan dengan MA63 yang masih belum dilaksanakan sepenuhnya,” kata beliau.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang pertama untuk Tahun 2025 di Dewan Persidangan, ICU, Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini pada Khamis.
Sementara itu, Fadillah berkata, laporan berkaitan pembangunan kesihatan dan pendidikan di Sabah dan Sarawak turut dibincangkan.
Sejak pelaksanaan MA63, ujar beliau, Kerajaan MADANI berjaya menyelesaikan sembilan isu berkaitan, antaranya pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Sabah dan Sarawak sebagai jabatan teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182, pindaan Akta LHDN 1995, serta pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas dan elektrik kepada kerajaan negeri.
“Selain itu, Kadar Pemberian Khas kepada Sabah Sarawak turut dinaikkan kepada RM600 juta secara interim bermula tahun ini,” kata beliau lagi.




