
KOTA KINABALU – Ahli Persatuan Sukan di Sabah menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas pemberian Geran Persatuan Sukan Negeri Sabah, yang membantu dalam pelaksanan program pembangunan atlet.
Timbalan Presiden Persatuan Golf Sabah, Datu Khalilul Datu Khalil berkata, geran tersebut sangat membantu dalam perancangan atlet remaja negeri Sabah bagi sukan golf.
Katanya, persatuannya menerima geran berjumlah sebanyak RM90,000 bagi kegunaan dan perancangan pembangunan sukan.
“Geran ini kami akan gunakan untuk Sabah Junior Tour, untuk kami merancang mengadakan empat pusingan bagi pemain-pemain remaja negeri Sabah.
“Harapan dan matlamat kami seperti biasa, untuk mendapat tempat dalam SUKMA yang akan datang dan juga melahirkan lagi pemain-pemain golf yang remaja yang berkebolehan dan bertaraf antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan TMP selepas Majlis Penyampaian Skim Insentif Kemenangan Sukan Kejohanan d Kebangsaan, Antarabangsa dan Penyerahan Geran Tahunan Persatuan Negeri Tahun 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini pada Khamis.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Tenpin Boling Negeri Sabah (BARU), Aisyah Abdullah turut meluahkan rasa syukur atas pemberian bantuan Geran Persatuan Sukan Negeri sebanyak RM56,000.

“Kami rasa berbangga dan bersyukur kerana mendapat geran sekali lagi dari kerajaan pada tahun ini.
“Seperti biasa, geran ini akan kami gunakan untuk memajukan sukan tenpin boling Negeri Sabah.
“Kali ini kami juga dapat menerima insentif kemenangan, apabila atlet-atlet kami telah memenangi beberapa kejohanan di Malaysian Clubs iaitu pertandingan boling Malaysian Clubs.
“Harapan untuk kami untuk memajukan lagi sukan tenpin boling terutama di SUKMA 2026,” kongsinya.
Mohd Zaini Usop sebagai Setiausaha Persatuan Taekwondo Negeri Sabah menganggap pemberian kali ini amat bermakna kerana menerima geran sebanyak RM78,000.
“Bagi pihak Persatuan Taekwondo Negeri Sabah, kami berterima kasih kepada kerajaan negeri Sabah dan juga kepada MSN yang telah memberikan geran Sukan bagi tahun 2025 ini,” katanya.
Ditanya mengenai harapan terhadap Persatuan Taekwondo pada masa akan datang, beliau mahu membawa atlet-atlet muda ke peringkat lebih jauh sama ada dari segi prestasi dan juga mutu sukan.
“Kita bermula pada tahun 2024, apabila sukan Taekwondo disenaraikan ke dalam SUKMA.
“Sabah telah menghasilkan medal dalam kategori baharu iaitu ‘freestyle’ dan itu adalah salah satu pencapaian yang kami membanggakan persatuan.
“Tahun 2025, kita akan berusaha untuk meningkatkan pencapaian ke peringkat nasional,” ujarnya.

Terdahulu, KBS menyalurkan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada 51 persatuan sukan yang berdaftar di bawah naungan Majlis Sukan Negeri Sabah bagi 2025.






