KUANTAN – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meletakkan sasaran sehingga 100 koperasi kariah masjid dapat ditubuhkan tahun ini.
Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, buat masa ini sebanyak 60 koperasi kariah masjid sudah diaktifkan di Pahang.
“Jumlah ini masih boleh ditambah dari semasa ke semasa dan saya dimaklumkan pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) juga akan membantu dalam hal ini.
“Pihak JAIP sudah memaklumkan kepada kadi daerah di Pahang untuk membantu Angkasa dan SKM dalam menambahkan lagi jumlah koperasi kariah masjid di negeri ini, jadi rasa tidak ada masalah untuk kita mencapai sasaran ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Angkasa dan Koperasi Kariah Masjid Lama Permatang Badak, dekat sini, petang tadi.
Ditanya mengenai punca masih banyak masjid belum menubuhkan koperasi, Abdul Fattah memaklumkan perkara itu mungkin disebabkan beberapa faktor.

Antaranya ialah kekurangan pemahaman mengenai peranan boleh dimainkan koperasi peringkat kariah masjid dalam membantu meningkatkan ekonomi setempat.
“Selain itu, mungkin ada pihak memikirkan bahawa apabila koperasi kariah masjid ditubuhkan, maka beban tugas akan bertambah.
“Jadi pihak Angkasa dan SKM akan memperbanyakkan kempen dan penjelasan dalam hal berkaitan operasi koperasi kariah masjid supaya mereka mendapat maklumat lebih tepat,” jelasnya.
Abdul Fattah dalam masa yang sama turut berharap sekurang-kurangnya 1,000 koperasi kariah masjid dapat ditubuhkan di seluruh negara dalam masa terdekat.
Katanya, buat masa ini hanya 577 daripada jumlah lebih 6,000 masjid dan surau di seluruh Malaysia memiliki koperasi sendiri.
“Perkara ini juga akan diteliti dan kalau boleh kita bukan sahaja mahu menambahkan lagi jumlah koperasi kariah masjid di Pahang, kalau boleh di seluruh negara juga jumlahnya dapat ditambah,” katanya.







