
SUDAH tiba masanya untuk Tan Sri Abdul Hadi Awang berundur sebagai Presiden Pas dalam memberi laluan kepada pelapis kepimpinan baharu untuk membawa naratif baharu politik negara dengan pendekatan baharu, khususnya menyusun strategi lebih segar dan berwibawa.
Seorang ahli Pas yang mahu dikenali sebagai Samad, 40, berpandangan, parti memerlukan barisan pemimpin baharu sebagai semak dan imbang serta merdeka daripada naratif yang buruk serta lapuk.
Menurutnya, akar umbi tidak pernah membenci Abdul Hadi sebagai presiden namun sentimen agama dan kaum yang menjadi tunggangan Ahli Parlimen Marang disifatkan sudah keterlaluan sehingga menimbulkan kejelikan dalam kalangan kaum bukan Melayu.
“Saya menghormati Tuan Guru (Abdul Hadi) sebagai seorang ulamak, pemimpin murabbi dan simbol perjuangan Islam di negara ini namun sebagai rakyat Malaysia yang hidup berbilang kaum, pandangan Tuan Guru terhadap pihak lawan atau menegur kerajaan dengan menggunakan isu 3R (kaum, agama, raja) dilihat sudah melebihi limitasi.
“Sebab itu, rakan-rakan di kalangan kaum bukan Melayu tidak menyukai Pas sebab mereka takut ditadbir oleh pemimpin yang menggunakan agama untuk menghukum rakyat. Saya berpandangan, beliau perlu berundur dari jawatan Presiden, namun dilantik sebagai Mursyidul Am Pas baharu dan Datuk Hashim (Jasin) pula dijadikan mentor untuk parti,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), hari ini.
Dalam pada itu, penyokong Pas yang dikenali sebagai Saliman, 51, senada dengan perkara itu dan mencadangkan agar Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijadikan sebagai Presiden baharu parti.
Jelasnya, Menteri Besar Terengganu itu dilihat individu sesuai bagi menggantikan Abdul Hadi yang diyakini mampu menangkis cabaran dalam memastikan kepemimpinan yang dinamik, berprestasi tinggi serta sempurna ilmunya turut menjadi tanggungjawab institusi.
“Dr Sam (Samsuri) dilihat sosok pemimpin yang boleh dilantik sebagai Presiden, setiap akar umbi tahu bagaimana matangnya beliau dalam menguruskan pentadbiran negeri selain tidak bermain sentimen yang boleh mencetuskan perpaduan kaum.
“Ini masa sesuai, Abdul Hadi bukan ahli menolak, ramai yang masih menghormati beliau sebagai agamawan, beliau ketika ini sesuai dlantik sebagai Mursyidul Am, beri peluang kepada Dr Sam sebagai Presiden dalam menjadikan Pas lebih matang dalam berpolitik sehingga bukan sahaja mampu memikat pengundi Melayu, namun mereka yang bukan Islam atau Melayu,” katanya.
Terdahulu, Pas Selangor kekal menyatakan sokongan teguh dalam menyokong kepimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai presiden parti itu, walaupun timbul desakan dan tuntutan pengunduran beliau atas dasar faktor kesihatan serta peremajaan parti,
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, kepimpinan parti diterajui oleh Abdul Hadi masih relevan berdasarkan situasi semasa, khususnya kejayaan bersejarah menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.
Menurutnya, kejayaan Pas bersama Perikatan Nasional (PN) meraih 22 kerusi di Selangor serta memerintah empat negeri, iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis, membuktikan keberkesanan ketokohan Presiden.



