
KOTA KINABALU – Kenyataan yang dikeluarkan Ketua Penerangan Warisan, Datuk Azis Jamman adalah fakta yang tersilap, kerana Warisan sendiri yang memilih untuk melawan Pakatan Harapan (PH) di Sabah bermula Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata demikian dalam kenyataannya berkenaan maklum balas terhadap kenyataan Azis yang menyatakan sokongan parti itu terhadap Kerajaan Perpaduan.
Razeef dalam kenyataannya turut menyatakan Pengarah Komunikasi Nasional PKR, Lee Chean Chung tidak perlu masuk campur urusan parti lain dalam menentukan kerjasama politik.
“Saya mengambil maklum kenyataan tersebut namun saya ingin memperbetulkan beberapa perkara antaranya Warisan yang mula-mula meninggalkan PH ketika memilih bertanding solo pada PRU15 lalu.
“Malah bergerak solo selepas bertanding solo di PRN Johor sehingga semua calon mereka hilang deposit.
“Pada PRU15 Warisan menyatakan mereka boleh memenangi lebih kerusi tanpa PH, bagi mereka PH menumpang kekuatan Warisan semasa PRU14.
“Mereka yakin meletakkan calon di lebih 50 kerusi, tetapi hanya menang tiga kerusi dan hilang lima kerusi termasuk yang disandang Azis dan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking.
“Saya juga maklum Warisan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berlaku Langkah Sheraton, tetapi sokongan mereka terhadap beliau pada ketika itu hanya kerana tiada pilihan lain,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, Warisan sebelum itu menyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletakkan jawatan dan Warisan tahu mereka akan ditunggang seperti keldai jika bersama Perikatan Nasional.
Sehubungan itu, menurut Razeef, Warisan tidak patut menuding jari pada PH seolah-olah PH meninggalkan Warisan sedangkan mereka yang meninggalkan PH di Sabah.
“Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam beberapa kenyataan dengan jelas mengatakan akan melawan PH di Sabah pada PRN akan datang, dengan itu kesetiaan mereka adalah meragukan.
“Warisan juga tidak boleh menuding jari menyalahkan PH menyokong Kerajaan Negeri ketika Warisan dan Barisan Nasional cuba menumbangkan Kerajaan Negeri ini dalam ‘Langkah Kinabalu’.
“Kita telah membentuk Kerajaan Perpaduan bersama dan PH lebih berminat untuk bersama membangunkan negeri ini berbanding mengambil langkah yang mengganggu kestabilan politik seterusnya merencatkan usaha pemulihan ekonomi pasca COVID-19,” kata beliau.




